Gadis kelahiran Sabah, Elica Paujin dinobatkan sebagai juara rancangan realiti hiburan nusantara, Stariser 2020!

Kemenangan Elica dari pasukan Hael Husaini itu juga sekali gus mengalahkan dua penyanyi dari kumpulan Cakra Khan iaitu Reza Alwin dan Jordie Yose.

Elica yang mempertaruhkan lagu Haram berjaya membawa pulang wang kemenangan RM10,000.

Manakala Reza dan Jordie yang masing-masing mempertaruhkan lagu Harus Terpisah dan Setelah Kau Tiada terpaksa akur dengan keputusan juri.

Sebelum itu, Elica merupakan juara pusingan battle pertama yang dibawa berentap ke pusingan akhir yang berlangsung pada Sabtu.

Seramai enam peserta daripada lebih 500 penyertaan terpilih untuk menyertai Stariser 2020.

Finale Stariser 2020 telah diadili oleh Ketua Content Studio Astro Malaysia, Syazwan Zakariah dan Timbalan CCO Indigo Production Indonesia, Putri Rahartana, wakil dari Rocketfuel Entertainment, Feyros Sayna dari dan MyMusic Records, Ade Govinda.

Stariser ditayangkan serentak pada setiap hari Sabtu pukul 9.30 malam di gempak.com/stariser serta di Astro Ria dan Ria HD.

Tahniah Gempak ucapkan kepada Elica Paujin!