Pereka kostum kebangsaan Miss Universe 2022, Hatta Dolmat mendedahkan dia berdepan satu cabaran besar ketika menghasilkan busana yang diinspirasikan daripada Gunung Kinabalu.

Jelas Hatta, pada awalnya dia telah menggunakan beberapa jenis kayu asli untuk diletakkan di atas busana tersebut, bagaimanapun ia terpaksa ditanggalkan disebabkan bahan tersebut tidak dibenarkan memasuki negara Amerika Syarikat.

Hal ini kerana, Hatta difahamkan kayu asli yang digunakan itu dikhuatiri mengandungi bakteria hidup dan berbahaya sebelum dia mengambil keputusan untuk menggantikan dengan kayu tiruan.

“Cabaran sangat banyak, salah satunya pada kostum kebangsaaan iaitu Gunung Kinabalu.

“Jika tengok pada video belakang tadbir pembikinan baju tersebut, saya ada meletakkan beberapa elemen yang betul-betul menggunakan kulit kayu asli, tapi masa fitting pihak pengurusan bagi tahu negara Amerika Syarikat tidak boleh bawa masuk kulit kayu atau berkaitan dengan alam.

“Sebabnya adalah dikhuatiri akan ada bakteria pada kayu-kayu tersebut dan bahaya jika dibawa masuk ke negara sana.

“Kalau betul-betul nak guna kayu tersebut, saya perlu pergi makmal dan matikan semua bakteria dan kuman. Iya alah saya tak tahu. Jadi saya terpaksa buka kayu asli dan gantikan dengan bahan kayu tiruan,” katanya kepada Gempak.

Hatta berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan kostum kebangsaan dan gaun petang Miss Universe Malaysia 2022 yang diadakan di MyEg Tower, Damansara pada Rabu

Dalam masa sama, Hatta turut meluahkan rasa bangga apabila tempoh empat bulan digunakan bagi menghasilkan dua busana Miss Universe akhirnya siap.

“Proses keseluruhan untuk membuat dua busana tersebut saya kira mengambil masa dalam empat bulan juga. Ia bermula daripada proses sketch sehingga baju itu siap.

“Bila tengok hasilnya buat pertama ditayangkan pada orang ramai di press conference sangat berdebar sebenarnya, sebab ini pertama kali untuk saya. Dalam masa sama saya rasa bangga dan bertuah sebab dipilih sebagai designer untuk kedua-dua busana,” tambahnya.

Untuk info, negara bakal diwakili oleh juara Miss Universe Malaysia 2022 iaitu Lesley Cheam ke pertandingan ratu cantik Miss Universe 2022 yang bakal berlangsung pada 14 Januari 2023 di di Ernest N. Morial Convention Center, New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat pada 14 Januari 2023.

BACA: Inilah National Costume Miss Universe Malaysia Berinspirasikan Gunung Kinabalu

BACA: Lesley Cheam Training All Out Demi Miss Universe, Dah Bersedia Harumkan Nama Malaysia! - “Walau Ada Anxiety, Itu Bukan…”