Pelakon Zahirah Macwilson akui gementar saat dia diminta untuk berlatih menembak menggunakan senjati api sebenar untuk penggambaran filem Bulan & Pria Terhebat.

Menurut Zahirah dia perlu menjalani latihan secukupnya sebelum memasuki set sebenar.

“Ini pengalaman yang berharga buat saya. Pada awalnya saya akui sangat gementar tapi saya gembira kerana dapat merasai pengalaman menggunakan senjata api di dalam filem.

“Bukan mudah untuk melakukannya kerana saya perlu menjalani latihan dengan jurulatih untuk menggunakan pistol itu dengan cara yang betul,” katanya kepada Gempak.

Selain Zahirah dan Maya, Bulan & Pria Terhebat yang diterbitkan bersama oleh Astro Shaw, Nizra Entertainment dan Skop Production itu turut dibintangi oleh Khir Rahman, Zizan Razak, Alif Hadi, Bell Ngasri, Didie Alias, Aprena Menrose, Sein Qudsi, Rashid Ishak dan ramai lagi.

Pun begitu, Zahirah berbangga kerana dia dapat mengendalikan senjata api itu dengan baik.

“Jurulatih yang memantau sewaktu latihan pun terkejut dengan keupayaan saya menembak.

“Bagi saya dalam hal ini semua bergantung kepada kesungguhan kita selain minat dengan apa yang dilakukan,” katanya lagi.


Filem hebat yang diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar ini bakal menemui penonton pada 12 Mac depan.

Secara ringkas Bulan & Pria Terhebat mengisahkan Bulan (Zahirah Macwilson) merupakan pelatih di dalam pasukan tentera khas Indonesia menyeludup masuk ke dalam sindiket pemerdagangan manusia bagi mencari adiknya, Melati yang telah diperdaya dan dibawa ke Malaysia untuk dijadikan gadis liburan.

Bulan bertemu Haris (Zizan Razak), seorang pemandu e-hailing yang prihatin dan sudi membantu Bulan mendapatkan kembali adiknya dari genggaman bapa ayam, Agus dan ketuanya, Ricky. Ricky mengarahkan Tony, seorang pembunuh upahan untuk menghapuskan Bulan dan Haris.