Ibu kepada pengarah Syamsul Yusof, Datin Patimah Ismail terus mengemaskini akaun media sosialnya bersama bingkisan video-video sedih.

Dalam hantaran terbaharu, Patimah berkongsi sepotong video motivasi khusus ditujukan untuk menantunya, Puteri Sarah Liyana.

Tulis kata-kata dalam video terbabit seperti; "Kita hanya mampu berencana, namun takdir Allah adalah segalanya. Inilah jalan kehidupan yang harus kita jalani. Walaupun pahit dan manis terus berganti."

Selain itu, dalam siri hantaran sama Patimah turut berkongsi pandangannya terhadap tanggungjawab suami yang tidak mementingkan harta benda.

"Respek kepada suami-suami yang tidak mementingkan harta demi untuk kebahagiaan anak dan isteri," tulisnya bersulam lagu Harta Berharga.

Malah, Patimah turut melayangkan doa dalam hantaran terakhir bersama sekeping foto dua cucunya, Syaikhul Islam dan Sumayyah.

"Ya Allah kau berilah ketenangan dan kesabaran kepada ibu mereka. Sembuhkan luka di hatinya, agar ada yang ikhlas menyayangi mereka. Amin," tulisnya.

Terdahulu pada Isnin, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 18 April ini untuk Syamsul melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya pelakon, Puteri Sarah Liyana.

Sebelum ini, sesi perdamaian antara Syamsul dan Puteri Sarah melalui JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), pada 24 Mac lalu, menemui jalan buntu.

Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.