Penyanyi Ariff Bahran mengakui tidak faham dengan perangai sesetengah netizen yang suka mengecam golongan artis secara keterlaluan.

Bahkan, bekas peserta Big Stage 2018 itu mengakui ada kalanya, kata-kata yang diberikan itu memberikan kesan mendalam terhadap emosinya.

"Saya memang tak akan beri perhatian kepada haters, cuma kesannya kepada kita sebab dah baca komen-komen mereka.

"Saya ini boleh dikatakan masih baharu dan merangkak dalam industri. Apabila orang kutuk, saya triggered lah juga.

"Bukan apa, saya tidak faham kenapa mereka kutuk suara saya, mereka panggil saya muka macam Bangla lah, tetapi apabila jumpa depan-depan merekalah yang sibuk nak bergambar bersama," kata Bahran kepada Gempak.

Menurut Bahran lagi, biarpun dia tidak pernah memberi sebarang respons terhadap segala komen-komen negatif yang dilemparkan kepadanya, itu tidak bermaksud dia tidak menyelidik latar belakang individu tersebut.

Katanya, dia tahu identiti di sebalik pemilik akaun yang disifatkan sebagai hatersnya itu.

"Haters takkan berani nak cakap apabila berdepan. Kalau setakat nak stalk haters (nak tahu siapa mereka), rasanya sayalah nombor satu kot. Sekejap je saya boleh tahu. Ada juga saya dapati mereka dalam kalangan orang industri sendiri.

"Saya hanya nak tahu siapa dan kenapa mereka bertindak begitu. Kata-kata kesat yang mereka lemparkan seolah-olah tiada perasaan belas kasihan," luahnya.

Begitupun, penyanyi berusia 21 tahun itu memberitahu, seteruk mana sekalipun cercaan yang diterima, dia tidak pernah bertindak menutup ruangan komen di media sosial.