Pelakon Ezzaty Abdullah akui berasa serba salah apabila terpaksa menjalani tempoh berpantang selepas melahirkan anak keduanya di rumah ibu bapanya.

Menurut Ezzaty dia tidak tinggal di rumah barunya kerana sedang diubah suai.

“Ya Allah, serba salah saya terpaksa berpantang di rumah parents sebab rumah saya belum siap. bersepah dan berhabuk. bising orang buat kerja lagi.

“Kasihan baby saya kalau berpantang di rumah. dengan tak ade dapur lagi. tak boleh masak,”
katanya.

Isteri kepada pelakon Azwan Kombos itu berkongsi perkara berkenaan di akaun Instagram miliknya.

Lebih berat lagi apabila kedua ibu bapanya disahkan positif Covid-19 dan terpaksa berpindah keluar untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah arwah neneknya.

“Allah bagi ujian sebab Allah sayang. Parents saya dua-dua positif covid. Mula-mula mereka kuarantin di tingkat atas.

“Tapi sebab risau dan terlalu sayangkan cucu-cucu, mereka yang keluar dari rumah untuk kuarantin di rumah arwah nenek saya di Ampang sebab tiada orang di sana.

“Sedih, serba salah, terkilan, semua ada. Parents saya pula yang terpaksa keluar dari rumah mereka sendiri,”
luahnya.

Dalam masa yang sama, Ezzaty memberitahu dia amat bimbangkan keadaan serta kesihatan anak-anaknya terutama bayi yang baru berusia 2 minggu.

“Saya risau sangat keadaan anak-anak saya terutama baby saya yang baru 2 minggu.

“Doakan saya dan anak-anak semua sihat dan tidak dijangkiti Covid-19 ye. Doakan kami semua negatif dan doakan ibu, bapa, nenek, adik dan seluruh ahli keluarga saya yang lain cepat sembuh,”
pintanya.

Ezzaty yang baru melahirkan bayi kedua pada 11 Februari lalu mendirikan rumah tangga pada 2016.

A post shared by Ezzaty Abdullah (@ezzatyabdullah)