Majlis perkahwinan anak lelaki Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah berlangsung dengan meriah dengan kehadiran sebanyak 10,000 jemputan di Dataran Putrajaya, Presint 3 semalam.

Memetik laporan BERNAMA, majlis perkahwinan berkonsepkan Jawa itu diadakan di sebuah pentas yang didirikan depan bangunan Istana Kehakiman pada pukul 11.00 pagi hingga 2.00 petang.

Majlis tersebut telah diadakan dalam suasana norma baharu di mana para tetamu yang hadir melalui jalan di lokasi majlis dan melihat pasangan Raja Sehari Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan dan Oceane Cyril Alagia melambaikan tangan dari pentas.

Semua tetamu kemudian mengambil juadah makanan yang disediakan di khemah khas secara pandu lalu.

Meskipun majlis diadakan dalam norma baharu, Tengku Muhammad Hafiz dan keluarga berterima kasih kepada semua tetamu yang hadir memeriahkan hari bahagianya itu.

"Konsep majlis ini diadakan adalah cetusan idea daripada ayah saya sendiri, Tengku Adnan yang mahu majlis ini turut diraikan bersama seluruh warga Putrajaya yang saya anggap sebagai keluarga saya sendiri kerana telah membesar di sini sejak kecil," katanya.

Beliau menambah, majlis tersebut diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19.

"Saya amat bersyukur dan gembira kerana majlis ini berjalan lancar dan meriah walaupun diadakan secara berlainan daripada kebiasaan," katanya.

Majlis perkahwian itu turut diwarnai dengan persembahan kebudayaan masyarakat Jawa dan artis tempatan yang dapat disaksikan pada skrin besar tepi pentas.

Sumber : BERNAMA
Kredit Foto : BERNAMA