Sekilas
- Theebaan G menganggap drama PL, I Love You sebagai pengalaman baru yang membuka perspektifnya tentang bola sepak walaupun sebelum ini dia bukan peminat sukan itu.
- Drama ini mengisahkan konflik romantik antara penyokong tegar Arsenal dan bekas teman lelaki yang setia kepada Chelsea, dengan elemen amnesia sebagai plot utama.
- PL, I Love You disiarkan setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam di Astro Ria dan sooka, menampilkan pelakon seperti Intan Serah, Kamal Adli, dan Theebaan G.
Pelakon, Theebaan G yang sebelum ini sering tampil dengan watak aksi menyifatkan pembabitannya dalam drama PL, I Love You sebagai pengalaman baharu yang menampilkan sisi lain dirinya.
Theebaan mendedahkan dia tidak pernah mengikuti secara serius tentang liga bola sepak Inggeris.
“Saya tidak mengikuti liga bola sepak Inggeris tapi kenal juga pemain-pemain handalan dalam kelab kerana seingat saya.
“Semasa tahun enam, untuk ‘masuk’ dalam perbualan rakan-rakan saya terpaksa baca surat khabar pada bahagian sukan dan hafal tentang kelab bola sepak,” katanya.

Namun Theebaan mengakui selepas terlibat dalam PL, I Love You, dia mengakui telah memiliki perspektif berbeza dan faham mengapa bola sepak menjadi antara sukan terbesar di dunia.
Malah dia juga telah memuat turun aplikasi EPL dalam telefon bimbitnya.
“Ya, saya memang bukan peminat bola sepak. Namun selepas menjalani penggambaran di London, ia telah memberi saya perspektif baharu mengapa bola sepak menjadi hal yang sangat penting kepada penggemarnya.
“Sekarang saya juga faham bagaimana bola sepak boleh berkembang dalam masyarakat, dalam negeri atau negara dan seterusnya menjadi sukan yang penting di dunia,” jelasnya.

Selain Theebaan, PL, I Love You juga turut dibintangi oleh Intan Serah, Kamal Adli, Intan Serah, Evertts Gomes, Hawa Rizwana, Nina Jasmin dan Sean Lee.
Saksikan PL, I Love You setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam di Astro Ria dan sooka.
Sinopsis:
Apa yang berlaku apabila seorang penyokong tegar Arsenal cuba mengubah bekas teman lelakinya yang begitu setia kepada Chelsea?
Lebih menarik, lelaki itu bukan sahaja enggan menukar kesetiaan kepada kelab bola sepakkegemarannya, malah mengalami amnesia.
Itu antara konflik yang diketengahkan menerusi drama romantik komedi PL, I Love You, arahan terkini pengarah Michael Ang.
Drama lapan episod berdurasi sejam itu mengangkat kisah percintaan yang diselangi perseteruan dua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Chelsea.
Lily yang dijayakan Intan Serah merupakan seorang peguam dan penyokong tegar Arsenal yang masih berpegang kepada impian arwah bapanya supaya dia berkahwin dengan seorang lelaki yang juga penyokong The Gunners.
Namun, pilihan hatinya, Adam (Kamal Adli), bukan sahaja penyokong setia Chelsea, malah mempunyai sejarah peribadi yang membuatkan dia begitu membenci Arsenal.
Adam yang merupakan pemilik bengkel kereta kemudiannya berdepan satu kejadian yang mengubah kehidupannya apabila dia tergelincir lalu jatuh dan mengalami kehilangan ingatan.