Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Mikrofon Impian : "Saya Ikhlas Cerita Tentang Kehidupan Saya" - Affendy Berjaya Bawa Pulang RM 20,000

Asraf Aided
08/04/2019 06:34 MYT
Peserta Mikrofon Impian, Muhamad Affendy berjaya membawa pulang jumlah wang sebanyak yang diperlukan iatu RM 20,000 apabila berjaya di dua pusingan dalam episod kelapan malam tadi.

Affendy mengalami masalah kaki yang tidak kuat selepas kemalangan dan bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU) beberapa tahun lalu dan memerlukan wang sebanyak RM20,000 untuk menyelesaikan segala hutangnya.

Menerusi segmen Cerita Mikrofon Impian, Affendy meluahkan rasa syukur dan mengatakan dia tidak malu mendedahkan kisah hidupnya itu kepada orang ramai.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur, terima kasih banyak-banyak, saya dah buat yang terbaik dan inilah hasilnya.

"Selama ini saya rasa terbeban namun jawapannya telah ditemui pada hari ini, saya tak malu mendedahkan kisah hidup saya kepada orang ramai, kepada sesiapa yang tersinggung saya minta maaf.

"Hanya saya dan ahli keluarga yang tahu tentang segala kesusahan yang dialami," katanya. 

Sementara itu, pesaing Affendy malam tadi, Fikri tidak berjaya mara ke pusingan kedua namun tidak pulang dengan tangan kosong, dia turut diberikan wang sisipan sebanyak RM 2000.

Selain itu, Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali menawarkan sejumlah wang pinjaman untuk Fikri memajukan perniagaan keluarga mereka.

"Saya takkan terhenti setakat ini sahaja, saya akan cuba kembangkan bakat saya demi membantu keluarga saya.

"Untuk keputusan malam ini, saya terima sahaja sebab itu adalah rezeki masing-masing, saya hanya bertawakal dan tidak terlampau berharap.

"Saya pun dapat rasa Affendy lebih memerlukan wang dari saya, mungkin rezeki saya di masa akan datang," ujarnya.

Program Mikrofon Impian diterajui Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali Pak Nil sebagai hos dan menampilkan tiga juri tetap iaitu Fauziah Latiff, Azmi Saat dan Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali yang akan mengadili para peserta.

Dua peserta akan berentap dalam pusingan kalah mati untuk setiap episod dan mereka diminta menjelaskan situasi kewangan sebelum menyanyikan lagu pilihan masing-masing di hadapan juri.

Masyarakat yang prihatin boleh turut membantu dengan menyumbang secara ikhlas kepada peserta yang memerlukan sekiranya mereka gagal memenangi sebarang wang kemenangan menerusi platform MaybankHeart.

Mikrofon Impian dibawakan oleh Chatime Malaysia  bersiaran setiap hari Ahad, jam 9.00 malam menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
#Mikrofon Impian