Bekas peninju legenda dunia, Mike Tyson kini dilaporkan sangat berjaya sebagai seorang usahawan.

Beliau yang merupakan pemilik Tyson Ranch dianggarkan memperoleh pendapatan sekitar RM1.5 juta (US$ 360.000) sebulan hasil menjual ganja yang menjadi salah satu penyumbang ekonominya buat masa kini.

Kesuksesannya memiliki Tyson Ranch yang dipenuhi kanabis atau ganja sebagai tanaman di ladang tersebut dikatakan telah membuatkan masalah kewangan figura berusia 54 tahun itu kembali pulih.

Menerusi laporan thesun.co.uk yang memetik cannabisdrinksexpo.com, Tyson membangunkan ladang tersebut di bawah syarikat Tyson Holistic Holding sejak tahun 2016.

Ladang itu tidak hanya ditanam dengan pokok ganja, tetapi menjadi sebuah kawasan untuk berkhemah selain memiliki hotel, spa dan lazy river terpanjang di dunia serta menyediakan tapak untuk festival hiburan.

Tyson mendakwa beliau memiliki ladang dan menjual ganja selepas lebih 20 tahun badannya mengalami banyak kecederaan dan sakit yang akhirnya sembuh melalui kaedah rawatan menggunakan tumbuhan yang diharamkan di kebanyakan negara di dunia itu.

"Saya telah menjalani dua pembedahan dan menggunakan kanabis untuk menenangkan saraf selain menghilangkan rasa sakit.

"Benar, pada awalnya saya sempat mabuk dan meracau hasil penggunaan ubat tersebut," akuinya.

Walaupun dikritik kerana membangunkan ladang tersebut atas kepentingan peribadi termasuk memperoleh ekonomi yang baik, Tyson berkeras mengatakan dia telah memberi banyak peluang pekerjaan kepada penduduk dan petani untuk mengusahakan ladang ganja tersebut.

Malah beliau mendakwa telah melakukan ujikaji dan proses pembuatan ubat berasaskan kanabis yang dijual dari ladangnya mempunyai standard yang ketat.

"Saya fikir ganja adalah ubat ajaib di masa depan," katanya dalam satu temu bual bersama Reporter Today.

Kredit Foto: Metro.co.uk