Pelakon Keluarga Iskandar The Movie (KITM) Hiera Hassan menyifatkan penghijrahannya untuk berhijab baru-baru ini sebagai satu rahmat teragung daripada Allah SWT.

Menceritakan kepada Gempak, Hiera berkata, dia mula berhijab ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa bulan lalu.

Menurut Hiera, ketika itu dia baru berjinak-jinak dan mula mendekatkan diri dengan kelas agama yang diadakan secara atas talian.

“Mulanya saya hanya niat untuk tambah ilmu belajar hal agama selain fokus untuk menjaga solat.

“Masa itu tidak terdetik lagi untuk pakai tudung sehinggalah satu malam tu saya bermimpi,” katanya.

Tambahnya, dalam mimpi tersebut dia berada di sebuah masjid dan sedang mandi.



“Selepas mandi saya dibawa oleh ‘tour guide’ masuk ke sebuah bilik. Di dalam bilik itu saya diberi peluang untuk memilih tudung dan jubah, bayangkanlah.

“Tapi ketika itu saya masih tak pasti di masjid mana, namun hati ni kuat mengatakan saya berada di tanah suci Makkah. Lihat jalur-jalur hitam di dinding masjid seperti di Makkah.

“Saya tak pasti sampailah bila terjaga dari mimpi saya terus Google struktur binaan, bentuk dan warna dinding masjid di Makkah.

“Alangkah terkejutnya saya, rupa-rupanya yang saya mimpikan itu adalah Masjid Nabawi di Madinah.

“Ya Allah, terus terang saya terus menangis dan hari itu jugalah saya mula pakai tudung tutup aurat dengan lebih sempurna,” katanya.

Kata Hiera lagi, dia bersyukur kerana diberikan ‘hidayah’ sebegitu dan diharapkan orang di luar sana boleh mengambil ikhtibar daripada situasi tersebut.

Untuk makluman, Hiera antara pelakon utama yang membintangi KITM dan anda boleh saksikan lakonannya menerusi Astro First di saluran 480.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem ini selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Untuk rekod, KITM mengisahkan Keluarga Iskandar merancang untuk konvoi bersama ke majlis perkahwinan Faris iaitu bekas teman lelaki Adibah di Pontian, Johor.



Walaubagaimanapun perjalanan ke majlis Faris agak lambat kerana Mak Jah asyik memaksa keluarganya menyinggah ke setiap satu rumah sepanjang perjalanan ke Pontian.

Akibat terlalu bosan, Princess dan Dardar telah merancang untuk ke taman tema tanpa pengetahuan keluarga mereka.
Kehilangan mereka berdua telah menggemparkan keluarga Iskandar.

Temui karakter-karakter kesayangan anda menerusi filem KITM yang ditayangkan terus ke pawagam rumah anda, Astro First di saluran 480 bermula 16 Julai 2020.