Pendatang baharu, Sophia Zuhri mendedahkan diri berani mengambil keputusan untuk mengeluarkan album lagu dengan niat mahu berkongsi karya serta minat yang sudah sebati dengannya sejak zaman kanak-kanaknya.

Pernah muncul dengan single berjudul Game of Charades pada 2021, Sophia akan muncul dengan album sulungnya pada September ini menampilkan 10 buah lagu antaranya berjudul Mediocre Love, Against Me, Mimpi-mimpi Ini dan Perfect for You yang merupakan hasil karyanya sendiri.

Baru berusia 18 tahun, Sophia yang juga bergelar penyanyi dan penulis lirik akur jika ada sebahagian pendengar masih belum boleh menerima muzik ciptaannya.

“Saya tahu bukan semua akan suka. Saya terima dan bersedia dengan semuanya. Saya hanya ingin berkaraya dan berkongsi bakat saya,” katanya kepada Gempak.

Sophia ditemui pada majlis An Evening With Sophia yang diadakan di Hotel Royal Chulan, Damansara pada Rabu.

Pada majlis itu juga, Sophia tampil membuat persembahan sulungnya di hadapan kira-kira 200 tetamu dengan menyampaikan lima buah lagu secara langsung dengan iringan pemuzik.

Bercerita mengenai kerjaya seninya, anak bongsu ini menggunakan khidmat komposer terkenal, Ajai sebagai penerbit dan mentor.

“Saya beruntung kerana mendapat bimbingan Ajai yang banyak membantu saya dan memberikan keyakinan dalam meneruskan minat ini. Ajai juga meyakinkan saya mampu menyanyi dalam Bahasa Melayu.

“Bukan mudah bagi saya untuk mendendangkan lagu dalam Bahasa Malaysia, pengalaman ini agak mencabar, namun saya berharap agar lagu ini mendapat tempat di hati peminat,” jelasnya lagi.

Ajai ketika ditanya mengenai potensi Sophia berkata, gadis itu mempunyai kelainan dari segi muzik yang dibawa serta kemampuannya sebagai pencipta lagu. .
“Saya melihat dia ada potensi yang sangat baik dan usianya masih muda. Saya percaya dengan didikan yang betul Sophia boleh menjadi pelapis yang baik,” ujarnya.