Kerajaan semalam memutuskan untuk mengangguh kejohanan Piala Malaysia sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media yang berlangsung semalam.

Menurut Ismail, sukan bola sepak mempunyai risiko yang tinggi kerana ia membabitkan sentuhan dalam kalangan pemain.

"Minta maaf kepada peminat-peminat bola sepak. Selepas dibentangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merasakan pertandingan bola sepak menyebabkan berlaku sentuhan di kalangan pemain, biarpun tiada penonton,” katanya.

Tambahnya, pemain juga berisiko kerana mereka berpeluh dan apabila bersentuh ia dianggap lebih bahaya daripada keadaan biasa.

"Mesyuarat telah buat keputusan, untuk Piala Malaysia, kita bersetuju untuk ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan diumumkan nanti," katanya.

Terdahulu, Ismail turut menegaskan sebarang majlis sosial termasuk majlis perkahwinan masih tidak boleh diannjurkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

BACA: “Majlis Kahwin Tidak Dibenarkan Tapi...” -Menteri Perjelas Kekeliruan SOP