Pelatih pakar bedah warganegara Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri menegaskan pengambilan air sejuk atau air suam semasa tempoh berpantang bagi wanita baru bersalin tidak memudaratkan kesihatan vagina si ibu.

Menerusi laman sosial Twitter, Dr. Amalina berkongsi info berkenaan selepas diajukan soalan oleh seorang pengikutnya.

“Anda minum air sejuk ke, air suam ke, apa yang anda minum akan berubah jadi suhu badan apabila masuk ke dalam sistem pencernaan. Tidak ada kena mengena langsung.“Tak salah berpantang cara tradisional tapi jangan sampai memudaratkan, sampai catu air, catu makanan berzat dan macam-macam yang tidak mendatangkan faedah tetapi mudarat. Bincang dengan doktor obs&gynae mana yang boleh ikut, mana yang perlu tinggalkan.

“Jangan dengar cakap orang yang suka takut-takutkan anda, tetapi pastikan anda faham kenapa anda buat sesuatu perkara dan buat yang terbaik untuk diri anda dan bayi. Bincang baik-baik dengan keluarga. Bukan ikut cakap org membuta tuli. Itu badan anda, kesihatan anda dan hak anda,” tulis Dr. Amalina menerusi bebenang kicauan.

Menerusi ruangan balas juga, ramai wargamaya yang menyuarakan pendapat apabila generasi muda terlalu manja dalam menjalani proses berpantang.

Malah, ada juga yang terpaksa terikat dengan amalan turun-temurun nenek moyang yang akhirnya tidak memberikan sebarang kebaikan kepada kesihatan ibu.

“Macam aku berpantang macam zaman nenek dulu.. Terima kasih arwah mak sebelum pergi tinggal pesanan jangan manjakan diri semasa berpantang. kena cergas,” kongsi seorang wargamaya.

“Generasi kita ni terikat dengan kaedah pantang/kawalan ketat mak-mak yang menjaga kita dalam pantang. Sampai mak pernah kecik hati dengan menantu sebab bandingkan doktor dengan pesan org tua soal berpantang ni. Bab kecil hati seorang ibu ni yang tak daya,” luah seorang wargamaya.

“Selepas bersalin, mak mertua yang jaga saya, dia suruh pantang makan tapi kerja rumah dia tak tolong saya masih kena buat. Bagi saya, rehat yang cukup, tak stress dan persekitaran yang membantu lagi penting dari pantang makan yang merepek ni,” kata seorang wargamaya.

“Betul tu doktor, awak bagi ilmu yang sangat berguna,” komen seorang wargamaya.

“Tapi tak boleh la doktor, Nanti orang tua kata kau mana tau, kau muda lagi. Dia orang lagi tua, lagi pandai,” tulis seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, perkongsian Dr. Amalina telah menerima hampir 10,000 ulang kicau daripada warga Twitter.