Pelakon popular, Mira Filzah diumumkan sebagai salah seorang pelakon dalam filem terbaharu arahan Hanung Bramantyo berjudul Cinta Tak Pernah Tepat Waktu.

Mira berkata, dia berasa sangat bersyukur dan teruja kerana dapat membintangi naskhah sutradara tersohor Nusantara itu.



‘’Sejujurnya saya rasa sangat teruja, terharu dan bersyukur dapat terlibat di dalam filem ini kerana sememangnya, untuk melebarkan sayap ke Indonesia sudah menjadi impian saya sejak dahulu lagi. Jadi apabila dipilih untuk terlibat di dalam filem ini dan bekerjasama bersama pengarah tersohor Indonesia, Hanung Bramantyo, satu kebanggaan buat diri saya sendiri.

BERITA TRENDING: Bakal Berjauhan Selama 3 Bulan, Mira Filzah Sediakan Kelas Aktiviti Untuk Anak

“Dalam filem ini, saya pegang watak sebagai Sarah, seorang doktor dari Malaysia yang bertemu dengan Daku Ramala, lakonan Refal Hady dan kemudiannya mereka mula berkawan rapat.

“Namun seperti judulnya, cinta mereka tak kesampaian. Saya juga rasa teruja dapat berlakon bersama pelakon-pelakon legenda Indonesia seperti Dwi Irawan dan Slamet Rohardjo. Saya sifatkan ini adalah satu proses pembelajaran dan pengalaman terbaik buat Mira ’’ katanya lagi.

Sementara itu, penerbit Azlin Hilda Abdul Latiff di bawah syarikat Seven Skies Motion turut meluahkan rasa teruja dalam menerbitkan filem ini.



‘’Impian untuk menerbitkan filem adaptasi novel ini sudah pun dirancang sejak 2021. Namun ketika itu usaha kita terbatas kerana masih dalam suasana pandemik.

“Alhamdulillah, impian ini terlaksana dan saya rasa sangat gembira. Semoga perjalanan penggambaran filem ini berjaya dan semuanya dipermudahkan,” kongsinya.

BERITA TRENDING: “Semoga Keserasian Kami Berjaya” - Refal Hady Hanya Kawan Dengan Prilly

Filem yang diproduksi oleh Dapur Film dan diterbitkan oleh produksi film dan konsert, Seven Skies Motion bersama K Studio itu bakal memulakan penggambaran pada awal Disember ini dan direncanakan tayangannya pada tahun hadapan.

Naskhah ini juga khabarnya bakal menampilkan lagu tema ciptaan komposer muzik tersohor, Melly Goeslaw dan bakal dinyanyikan oleh Aina Abdul dan Fabio Usher.



Merupakan sebuah adaptasi novel terlaris karya Phutut EA, Cinta Tak Pernah Tepat Waktu turut dibintangi oleh pelakon Nadya Arina, Carissa Perusset serta tonggak utamanya, Refal Hady.

Cinta Tak Pernah Tepat Waktu mengisahkan tentang pergolakan cinta seorang penulis buku, Daku Ramala lakonan Refal Hady dalam mencari cinta sejati dalam hidupnya dan berkenalan dengan 3 wanita berbeza.