Pelakon, Mira Filzah mengakui perlu mendapatkan bimbingan daripada pelakon senior iaituFatimah Abu Bakar untuk membantunya menjiwai watak Nabilla dalam drama bersiri Mandul Bukan Pilihan.
Menurut Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badruddin, 32, cabaran utama yang dihadapinya dalam drama ini adalah menyampaikan emosi dan memahami perjalanan watak Nabilla secara mendalam.
“Untuk drama Mandul Bukan Pilihan ini, saya masuk kelas lakonan bersama pelakon hebat iaitu Cikgu Fatimah Abu Bakar.
Mira berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sidang Media ‘Thariq Ridzuwan: His Treasure’ & ‘Mandul Bukan Pilihan’ yang berlangsung di TGV Cinemas, Suria KLCC baru baru ini.
Tambahnya lagi, watak tersebut begitu mencabar sehingga dia risau tidak dapat menyampaikannya dengan baik.
Aktres yang terkenal dengan drama Curang Tanpa Niat itu mengambil inisiatif untuk mendapatkan bimbingan profesional demi memberikan persembahan terbaik kepada penonton.
Pada masa sama, Mira turut mengakui watak Nabilla susah untuk dihayati dan mengambil masa yang lama untuk dia betul-betul faham emosi dan latar belakang watak tersebut.
“Saya ambil masa lama untuk betul-betul faham watak ini. Masa tengah penggambaran pun saya masih rasa watak Billa susah nak sebati dengan diri saya.
“Sebab itulah saya minta tolong Cikgu Fatimah. Dia banyak bantu saya dari segi emosi dan interpretasi skrip,” kongsinya.
Drama Mandul Bukan Pilihan mengangkat isu kesuburan dalam kalangan wanita dan bagaimana sebuah perkahwinan itu diuji dengan kehadiran orang ketiga. Drama ini akan mula menemui penonton bermula 14 Julai ini di Astro Ria.