Sekilas
- Pelakon Nad Zainal menegaskan selebriti perlu jaga imej dan nilai eksklusiviti supaya penonton kekal teruja dengan karya mereka.
- Dalam forum Pesona Sinema FFM35, Nad juga tekankan pentingnya disiplin kendali media sosial dan elak kenyataan provokatif.
- Program jelajah anjuran WHAM dan FINAS ini bertujuan berkongsi ilmu penjenamaan diri kepada mahasiswa menjelang FFM35.
Pelakon Nad Zainal berpendapat golongan selebriti perlu bijak menjaga imej dan nilai eksklusiviti masing-masing, terutama dalam era media sosial yang menyaksikan kehidupan peribadi semakin mudah menjadi tatapan umum.
Menurut Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 36, pendedahan yang terlalu kerap mengenai kehidupan seseorang artis dikhuatiri boleh menghakis keterujaan penonton untuk menyaksikan karya lakonan mereka.
“Sebagai selebriti, kita perlu mengekalkan nilai eksklusif. Pesanan pensyarah saya yang sentiasa saya pegang adalah jangan biarkan kehadiran kita nampak ‘bersepah’.
“Jika wajah dan kehidupan kita terlalu terdedah di merata tempat, nilai istimewa itu akan pudar dan penonton tidak lagi berasa teruja untuk menyaksikan karya kita di layar lebar,” katanya.
Nad berkongsi pandangan tersebut ketika menjadi panel forum Pesona Sinema FFM35 yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada Selasa.

Dalam sesi bertemakan ‘Membina Jenama Peribadi Dalam Era Digital’ itu, Nad turut menekankan kepentingan disiplin diri dalam mengendalikan media sosial, termasuk mengelakkan hantaran atau kenyataan yang boleh mengundang provokasi.
“Tugas utama saya adalah berlakon, jika pulang ke rumah saya adalah seorang isteri.
“Oleh itu, saya memilih untuk tidak mencampuri urusan orang lain atau memberikan ulasan berunsur provokasi.
“Saya lebih selesa berkongsi kandungan ringkas dan santai mengenai gaya hidup atau pendidikan anak-anak,” jelasnya.
Selain Nad, forum berkenaan turut menampilkan pengarah Shamyl Othman dan pelakon muda Idan Aedan sebagai panelis.
Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, media sosial sememangnya menjadi platform penting untuk mengetengahkan bakat, namun penggunaannya perlu dilakukan secara berhemah.
“Kerjasama berterusan bersama FINAS ini membolehkan kami membawa pakar industri untuk berkongsi ilmu kepada mahasiswa. Dalam era media sosial hari ini, platform digital adalah medan terbaik untuk mempamerkan bakat, namun ia juga merupakan pedang bermata dua.
“Sekiranya disalah guna, ia berisiko mencalarkan reputasi individu melalui fenomena ‘cancel culture’ yang semakin membimbangkan,” katanya.
Program berkenaan turut disertai pelakon dan penerbit Darling Ngasri yang berkongsi pandangan mengenai kepentingan membina penjenamaan diri untuk kekal relevan dalam industri hiburan.

Untuk rekod, siri jelajah Pesona Sinema FFM35 anjuran WHAM dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berlangsung selama dua hari, bermula di UiTM Kuala Pilah pada 17 November sebelum diteruskan ke UiTM Rembau pada 18 November.
Program yang menghimpunkan hampir 1,000 mahasiswa itu turut menampilkan AR Badul, Sweet Qismina dan Andy Teh dalam sesi di UiTM Rembau.
Penganjurannya merupakan antara pengisian menjelang Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang dijadual berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada 21 November ini.
Malam kemuncak tersebut bakal dikendalikan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Amelia Henderson serta disiarkan secara langsung menerusi TV2.