Penyanyi Ezlynn Ariffin, 40, nekad bertemu dengan pakar perubatan Islam bagi mendapatkan jawapan selepas kerap kali terjumpa serbuk berpasir di dalam bilik stor rumahnya.

Menurut Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin menyatakan serbuk yang dihantar itu adalah pelalau namun dia tidak mengetahui siapa gerangan yang menghantar.

"Rumah saya besar, duduk pula sorang-sorang. Benda (pelalau) itu diletakkan di tempat kasut dekat bilik stor.

"Masa pertama kali jumpa saya tak kisah. Saya ingatkan pasir sebab banyak kali juga saya masuk hutan dan juga kayuh basikal.

"Selepas kali kedua saya jumpa terus hati berdetak. Saya bawa dan tunjuk dekat pakar. Ia bukan santau tapi pelalau.

"Kebanyakan pakar yang saya jumpa memang mengatakan benda itu memang ada orang yang nak sampaikan sesuatu. Nak bagi saya nampak buruk, bagi orang lain tak nampak saya," katanya kepada Gempak.

Ezlynn ditemui ketika majlis pelancaran sabun Toyyib yang diadakan di Bandar Bukit Raja, Selangor, pagi tadi.

Dalam pada itu, pelantun lagu Hi Hi Bye Bye memilih untuk tidak membuang masa dengan berulang alik berjumpa dengan pakar perubatan.

Kata pelakon filem Zombi Kampung Pisang, dia telah dinasihati untuk melindungi diri dengan cara menyempurnakan ibadat seperti menjaga solat dan membaca al-Quran.

"Orang yang buat saya ini dia akan buat sampai bila-bila. Dia tak akan berhenti sebab tak puas hati.

"Individu yang saya jumpa itu minta saya ubah cara hidup, jaga solat, baca al-Quran walau satu ayat supaya sentiasa dekatkan diri dengan Allah.

"Al-Quran itu bukan sekadar baca, dalam tu ada doa-doa untuk sembuhkan penyakit. Jadi saya amalkan untuk menjadi pendinding diri sendiri, dah tak ada rasa takut dalam diri.

"Saya letakkan segalanya kepada Allah. Kalau Allah tak izinkan, tak akan berlaku. Alhamdulillah sekarang dah tak ada," katanya lagi.

Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram (IG), Ezlynn ada memuat foto serbuk berpasir dengan mengatakan dia sudah membersihkan berkali-kali namun sentiasa ada.

BACA: "Sapu Buang Ada Lagi" - Ezlynn Cuak Kerap Jumpa Serbu Seperti Kemenyan Dalam Rumah?