Pelakon Mona Allen bakal tampil dalam drama bersiri terbaru lakonannya iaitu Tanya Sama Pokok.

Menurut Mona, salah satu cabaran wataknya dalam drama tersebut memerlukan dia bertutur dalam loghat utara.

"Dalam drama bersiri ini, saya memegang watak bernama Ramlah dan perlu bertutur dalam loghat utara.

"Saya akui agak mencabar kerana meskipun ibu saya berasal dari Kedah, tetapi saya dibesarkan di Kuala Lumpur, dan saya pun tak bercakap utara dengan ibu saya.

"Setelah skrip diberikan, saya belajar dengan ibu saya, satu per satu perkataan saya tulis dan tanya dia tentang cara sebutan, kiranya, saya belajar dahulu sebelum datang ke set menjayakan watak ini," katanya kepada Gempak.

Mona berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran Tanya Sama Pokok di Sungai Besar, Kuala Selangor pada Ahad.

Bercakap mengenai pengalaman bekerja dengan Sabri Yunus yang mengarahkan drama terbabit, Mona akui selesa berurusan dengannya.

"Bekerja dengan Sabri Yunus sangat senang, dia akan beritahu apa yang dia mahukan di set, kalau ada perkara yang dia tak suka dia akan cakap terus terang.

"Untuk kami barisan pelakon, memang senang dan selesa untuk berurusan dengan dia," katanya lagi.

Selain Mona, Tanya Sama Pokok turut menampilkan barisan pelakon terkenal lain seperti Sabri Yunus sendiri, Datuk Fizz Fairuz, Sara Ali, Angeline Tan dan ramai lagi.

Drama bersiri ini akan menemui anda bermula 21 September 2020, setiap Isnin, jam 9.00 malam di Astro Warna (saluran 127) dan Warna HD (saluran 107).

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!

BACA : Tanya Sama Pokok Beri Teguran Secara Santai