Muat Naik Video Promosi Bersama Jenama Pro-Israel, Zus Coffee Mohon Maaf
Umirah Halim
16/05/2024 09:55 MYT
16/05/2024 09:55 MYT
Syarikat Zus Coffee berdepan dengan kritikan setelah mengeluarkan hantaran video promosi bersama jenama pro-Israel.
Zus Coffee mohon maaf
Susulan itu, pihak Zus Coffee telah membuat permohonan maaf dan memaklumkan bahawa perkara tersebut bukanlah hasil kerjasama kolaborasi mereka bersama jenama tersebut.
“Kami mendengar kekecewaan anda mengenai penglibatan kami dalam acara sukan-fesyen baru-baru ini.
“Penglibatan kami dalam acara ini hanya sekali sahaja, dengan tujuan menjual kopi untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia.
“Pertandingan hadiah secara percuma juga merupakan aktiviti sekali sahaja. Kami ingin menjelaskan bahawa ia bukan satu kolaborasi.
“Walau bagaimanapun, kami mendengar isi hati anda, dan kami sepatutnya lebih berhati-hati,” jelas Zus Coffee menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, Zus juga menegaskan bahawa pihak mereka tidak akan mengaitkan diri mereka dengan isu peperangan ini.
“Sebagai jenama tempatan Malaysia, kami berpegang teguh kepada integriti. ZUS Coffee tidak akan dengan sengaja mengaitkan diri kami dengan peperangan dan secara tegas menolak sebarang tindakan kekerasan terhadap kemanusiaan.
“Kami akan lebih berhati-hati dengan tingkah laku kami dalam aktiviti yang kami jalankan, dan jenama yang kami berkolaborasi pada masa akan datang.
“Untuk mengelakkan perkara ini daripada berulang, kami mengambil setiap langkah yang perlu untuk memperkukuhkan polisi dan prosedur kami.
“Kami dengan rendah diri memohon maaf atas kelalaian ini. Kami akan pastikan ianya tidak akan berulang lagi, tambahnya.
Terdahulu, pengguna media sosial meluahkan rasa kecewa apabila Zus Coffee memuatnaik hantaran bersama sebuah jenama sukan popular yang terkait dengan pengeluar Israel iaitu Delta Galir.
Bagaimanapun, pihak Zus Coffee telah memadam hantaran tersebut.