Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Rossa menggunakan khidmat penerbit terkemuka Hollywood yang pernah menerbitkan lagu nyanyian Miley Cyrus untuk album terbarunya.

Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handayani, 38, sudah merakamkan empat buah lagu di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Saya kini dalam proses menyiapkan album studio terbaru. Insya-Allah, album ini bakal dilancarkan sekitar Mac atau April. Saya juga merancang untuk mengadakan konsert di Jakarta bersempena dengan pelancaran album ini.

“Album terbaru ini bakal memuatkan 10 buah lagu. Istimewanya album ini, empat lagu sudah saya rakamkan di Los Angeles, Amerika Syarikat. Saya menggunakan khidmat Mitch Allen yang sebelum ini pernah menerbitkan lagu untuk Miley Cyrus.

“Selain Miley, Mitch Allen juga pernah menjadi penerbit untuk artis-artis terkemuka lain seperti Demi Lovato, Jason Derulo, Pitbull, Fifth Harmony, Kelly Clarkson, Simple Plan, Faith Hill, Selena Gomez dan ramai lagi,” jelas Rossa ketika ditemui di pelancaran jenama fesyen miliknya, Kain di butik Pret A Porter, G Village, Ampang pada Ahad.

Mengulas mengenai jenama Kain yang mula dijual di Malaysia, Rossa berharap agar jenama fesyen miliknya ini dapat diterima dengan baik oleh peminat tempatan.

“Jenama fesyen Kain dihasilkan menggunakan fabrik cetak yang mengambil inspirasi pelbagai motif batik. Alhamdulillah, selepas dilancarkan, jenama Kain mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan di Indonesia.

“Kini, jenama Kain boleh didapati di Pret A Porter secara eksklusif. Saya berharap agar peminat di Malaysia turut sama-sama memberi sokongan terhadap jenama ini. Untuk lebih informasi, peminat boleh singgah di laman Instagram @kain_madeinindonesia,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal