Hiburan
Mungkin Dia Tak Faham Perjalanan Acara, Tak Mengapa – Respon Zizan Razak Bila Dikritik Afdlin Shauki
Pelawak dan pengacara Zizan Razak tidak kisah menerima komen negatif atau kritikan berkenaan dengan tugasnya sebagai pengacara Festival Filem Malaysia 29 (FFM29).
“Kalau orang komen atau kritik, maknanya orang tengok. Perkara ini telah menjadi tumpuan. Saya tak kisah menerimanya.
“Zaman ini, kita harus faham yang kita hidup dengan media sosial. Jika dahulu, maklum balas akan diterima sehari selepas sesuatu perkara terjadi.
“Kini, semuanya berlaku dengan begitu pantas. Orang terus memberikan respon. Apa yang ingin saya lakukan, saya mahu memandang perkara yang baik dan kritikan membina. Perkara negatif, saya tak mahu fikirkan.
“Saya tak rasa gurauan saya keterlaluan. Jika benar gurauan saya atas pentas FFM29 melampau, pastinya pihak produksi sudah menegur saya.
“Selagi tiada teguran dari pihak produksi, saya rasakan semuanya baik-baik sahaja,” kata Zizan.
Mengulas mengenai pelakon dan pengacara Afdlin Shauki yang mengkritik penampilannya yang menyarungkan kaca mata hitam di awal acara, Zizan ada penjelasan tersendiri.
“Mungkin dia tak faham dan kurang pasti mengenai perjalanan acara tersebut. Saya hanya memakai cermin mata hitam pada segmen pertama. Saya hanya pakai dalam satu segmen sahaja.
“Saya pakai cermin mata hitam pun kerana saya terus membuka majlis selepas selesai membuat persembahan pembukaan FFM29. Tidak mengapa, mungkin dia tidak tahu.
“Apa-apapun, saya hormat Afdlin sebagai seorang sifu saya dalam bidang hiburan,” katanya lagi.
Filem lakonan Zizan, Abang Long Fadil 2 yang kini masih ditayangkan di pawagam merangkul trofi Anugerah Filem Box Office FFM29 dengan jumlah kutipan sebanyak RM17.3 juta.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @afdlinshauki & @zizanrazak869
Must-Watch Video