Laman Utama

"Mungkin Mereka Dah Lama Tak Makan Daging, Nak Beli Pun Mahal" - Bell Ngasri Santuni Asnaf

gempak
Amri Hassan
27/07/2021
11:11 MYT
Sponsor Banner
"Mungkin Mereka Dah Lama Tak Makan Daging, Nak Beli Pun Mahal" - Bell Ngasri Santuni Asnaf
Pelakon Bell Ngasri menyokong usaha mengagihkan daging korban kepada golongan memerlukan misalnya asnaf.
Kata Bell, menyantuni golongan asnaf melalui cara itu merupakan langkah murni dalam masa sama dapat berkongsi rezeki antara satu sama lain.
"Agihan daging korban kepada asnaf adalah satu benda yang baik untuk dilakukan, kerana golongan ini memang memerlukan bantuan.
"Kita tidak tahu, mungkin mereka dah lama tak makan daging, nak beli pun mahal.
"Jadi pandangan saya, apa yang dilakukan Yayasan Maghfirah, patut dipuji. Bila kita agihkan daging korban, maknanya kita bagi bantuan. Ia satu hal yang murni.
"Saya menyokong dan sama-sama dengan yayasan melakukan kerja agihan kepada golongan asnaf," katanya yang bersetuju dalam agihan daging korban secara drive thru bagi menjaga SOP.
Kata Bell selaku duta kempen Korban Untuk Ummah itu lagi, langkah sedemikian dapat membantu meringankan beban yang ditanggung golongan yang kurang berkemampuan.
"Ramai yang terkesan dek PKP dan PKPD. Ada antara mereka yang tidak boleh bekerja sehingga hilang punca pendapatan.
"Justeru, saya berpendapat bahawa bantuan sebegini diberikan kepada mereka yang memerlukan pada masa yang sangat tepat," ujarnya.
Yayasan Maghfirah menerusi program Korban Untuk Ummah telah menyantuni golongan memerlukan di Projek Perumahan Rakyat, Lembah Klang pada hujung minggu lalu.
Pada masa sama, sebanyak 40 ekor lembu dan 10 ekor kambing yang dibeli oleh penyumbang yayasan itu dikorbankan dan diagihkan kepada asnaf seperti ibu tunggal, anak yatim dan OKU dalam negara termasuk pedalaman Sabah.
Setiap keluarga asnaf akan menerima 1 kilogram daging korban. Projek Korban Untuk Ummah ini juga turut dilaksanakan di beberapa negara luar iaitu Mekah, Afrika, Indonesia, Mesir dan Kemboja khas untuk golongan asnaf Muslim di sana.
Pengurus Besar Yayasan Maghfirah, Tuan Aulia Rahman berkata pihaknya mensasarkan untuk mengutamakan korban di dalam negara ekoran pandemik yang melanda ketika ini.
"Kita sangat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang peduli dengan nasib saudara-saudara mereka di sini dengan berkorban di dalam negara," katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live