Pelakon Nasz Sally akui masih sukar untuk menempatkan diri sebagai pelakon yang lebih dikenali dalam industri seni tempatan.

Kata Nasz atau nama sebenarnya Nazurah Hanoom Hanafie, biarpun kerap terbabit dalam produksi filem, drama dan teater, dia percaya orang ramai masih memandang fizikal berbanding bakat.

"Mungkin faktor fizikal dan rupa saya yang dikatakan tak cantik dan plus size. Mungkin...

"Dan mungkin saya dicop sebagai 'character actor' yang sering diberikan watak lawak atau belum rezeki saya untuk diberi peluang watak yang lebih mencabar bakat saya dan menyerlahkan lakonan saya dalam industri.

"Alhamdulillah saya bersyukur dengan penerimaan peminat-peminat saya dan industri untuk hasil kerja saya sebelum ini.

"Saya percaya dengan bakat yang ada dan bukan mengejar glamor sahaja dalam kerja saya," katanya kepada Gempak.

Kongsi Nasz lagi, dia pernah dipanggil dengan ejekan fizikalnya di set penggambaran namun cuba memujuk diri untuk terus percaya pada rezeki.

"Industri seni kita, to survive is not easy for me. Semestinya ada ups and downs. Tapi saya tidak pernah berputus asa akan rezeki yang diberi dan percaya dengan rezeki sendiri.

"Tipulah saya tak pernah kena marah onset, ada saja kena marah, kena tegur dan dipanggil names about my body, my acting but, asalkan saya buat yang terbaik dan sentiasa ingatkan diri saya is not about glamour! Is about your art work. Sabar dan terus percaya dengan bakat sendiri," tambahnya.

Nasz kini muncul dengan dua drama serentak yang sedang ditayangkan iaitu Ratu Ten Pin dan Love Elsa.

Menerusi Ratu Ten Pin, Nasz melakonkan watak Nurin, kawan baik kepada Norma (lakonan Elisya Sandha).

"Ini pertama kali saya dapat bekerjasama dengan JS Pictures yang kita tahu digeruni dan dikenali dengan kualiti serta hasil kerja mereka yang hebat.

"Nervous, takut tapi Alhamdulillah bimbingan tenaga produksi memudahkan segalanya. Paling penting pengarah berpuas hati dengan hasil kerja saya, itu sudah cukup," katanya.

Jangan lupa saksikan drama Ratu Ten Pin yang bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.