BERITA
MySejahtera Kesan Lebih 200 Individu Dijangkiti COVID-19
Lebih 200 individu yang dijangkiti COVID-19 berjaya dikesan melalui aplikasi MySejahtera sejak ia dilancarkan April lalu, lapor AWANI.
Menurut Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ir. Md Shah Nuri Md Zain, jumlah itu berkurangan selepas virus itu semakin kurang menular di dalam negara kebelakangan ini.
“Pada April mula-mula dilancarkan, aplikasi MySejahtera telah mengenal pasti lebih 200 pengguna yang positif COVID-19.
“Kesemua mereka dikenal pasti bermula awal April sehingga akhir bulan tersebut dan berkurangan sejak akhir-akhir ini,” katanya kepada Astro AWANI dalam program AWANI Pagi menerusi segmen Realiti Rakyat, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Md Shah berkata sehingga kini terdapat 4.9 juta pengguna telah berdaftar dengan aplikasi MySejahtera.
Manakala 180,000 premis telah menggunakan aplikasi berkenaan untuk modul ‘check-in’ bagi memudahkan kontak rapat dikenal pasti sekiranya positif COVID-19.
Jelas Md Shah, aplikasi tersebut pada peringkat awalnya dibangunkan atas permintaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengenal pasti individu yang mempunyai risiko COVID-19.
“Kerana pada masa itu ramai datang ke klinik dan hospital untuk membuat pemeriksaan dan melalui aplikasi ini mereka tidak perlu pergi ke hospital dan klinik kerana boleh dinilai melalui aplikasi ini.
“Sekaligus, ia dapat kurangkan beban kerajaan menyediakan kakitangan perubatan untuk memeriksa orang ramai.
“Bagaimanapun, aplikasi berkenaan telah diperluaskan modulnya untuk pengesanan kontak rapat di premis yang dikunjungi pengguna apabila memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan pergerakan orang ramai,” ujarnya.
Sumber : Astro AWANI / Afiezy Azaman
Must-Watch Video