Pelawak dan pengacara Nabil Ahmad mendedahkan dia menjalankan ibadah puasa dengan sempurna pada tahun 2016.

Kata Nabil, ketika itu dia menunaikan ibadah umrah bersama isteri, Nazira Ayub buat pertama kali.



"Memang beza sangat kehidupan saya dulu dengan sekarang. Baru sekarang pertama kali saya dapat rasa betul-betul nikmat Ramadan ketika menunaikan umrah 10 malam terakhir bulan Ramadan.

"Pertama kali saya berpuasa penuh selama sebulan. Masya Allah baru saya rasa inilah nikmat sebenar. Ketika itu saya sudah berkahwin. Memang sangat berbeza.

"Perasaan nikmat itu tidak boleh diluahkan dengan perkataan. Lain macam rasanya," katanya.

Perkongsian itu dibuat ketika siaran langsung bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani di Facebook Geng Ustaz Cintakan Ulama semalam.



Dalam pada itu, pengacara program MeleTOP akui perubahan besar dalam dirinya selepas membuat keputusan untuk berkahwin.

"Kerana saya mendirikan masjid, kehidupan saya berubah. Kalau tidak, masyaAllah takut la nak cerita.

"Tak tertampung aib yang ada. Setiap malam saya bersyukur dengan kehebatan Allah dapat menyembunyikan aib saya. Kalau tidak, memang aib," katanya lagi.

Nabil dan Zira mendirikan rumah tangga pada tahun 2011.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata, Naira Mikayla, Leyla Medyna dan Mishall Imani.