Aktres Nabila Huda mengakui tidak menyimpan sebarang perasaan tak sedap hati apabila terpilih menggantikan pengacara Awal Ashaari untuk mengemudi sebuah program hiburan terkenal.

Menurut Nabila atau lebih mesra disapa sebagai Abil, dia percaya itu adalah rezeki yang telah ditetapkan dan meminta orang ramai untuk tidak mempersoalkan perkara itu.

“Semua ini adalah rezeki yang Allah nak bagi dan saya percaya pada perkara itu. Jadi, orang lain boleh berhenti tanya benda-benda yang tak sepatutnya sebab apa hak kita untuk tanya kenap orang ni dapat rezeki.

“Saya rasa sangat bersyukur apabila stesen TV dan pihak produksi memilih saya untuk menggalas tugas yang besar ini. Takde satu pun stesen TV yang pernah tawarkan tanggungjawab sebesar ini dan semestinya saya honoured untuk menjadi sebahagian daripada keluarga ini sampai saya tak fikirkan benda lain.

“Sudah tentu saya ada bercakap dengan Awal, tanya dia pendapat tentang pengacara program ini, apa benda-benda baik sebab kita tak tahu, kita baru lagi,” ujar Abil.

Nabila ditemui sewaktu majlis sidang media memperkenalkan pengacara baru program tersebut yang dianjurkan secara maya pada Isnin.

Tambah Abil lagi, dia masih belum memikirkan sebarang trademark sebagai seorang pengacara namun berjanji akan memberikan penyampaian yang berbeza untuk memberi kelainan bagi program sensasi tersebut.

“Saya seorang yang komited dengan kerja, tak kisahlah job tu besar ke, kecik ke, saya selalu buat sungguh-sungguh dan akan pastikan hasilnya wow. Jadi, trademark sebagai pengacara itu akan datang dengan sendiri dan pastikan kalau korang tengok episod pertama nanti, korang akan rasa nak tengok lagi. Apa karakter saya dan cerita-cerita sensasi yang akan disiarkan

“Korang semua kena ingat, saya adalah ejen gosip, seseorang ejen tu boleh menjadi apa jua yang dia nak. Jadi akan ada perwatakan yang istimewa nanti,” jelasnya lagi.

Nabila akan mula bersiaran dalam program hiburan tersebut bermula Ahad ini.

Terdahulu, Awal dan Janna Nick mengucapkan selamat tinggal dan mengundurkan diri secara rasmi daripada program berkenaan.

Awal berkhidmat sebagai pengacara selama lapan tahun bermula pada 2012.

Manakala, Janna Nick pula mula mengacarakan program itu pada 2018.