HIBURAN
Nadhir Nasar Jawab Spekulasi Sudah Berpunya, Masih Mencari Calon 'Wanita Kelantan' - “Usia Saya 30 Tahun Depan…”
Pelakon, Nadhir Nasar tampil memberikan respons mengenai spekulasi yang mendakwa dirinya sudah mempunyai teman istimewa.
Nafi dakwaan sudah berpunya
Nadhir atau pemilik nama lengkap Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 29, menafikan dakwaan tersebut.
Katanya, dia masih dalam proses mencari teman hidup, namun terhalang kerana jadual kerja yang sibuk.
“Saya akui ada ramai yang membuat spekulasi saya sedang mempunyai hubungan dengan seseorang, jujur saya okey saja. Cuma privasi tetap menjadi keutamaan saya.
“Kadang benda itu tak betul hingga menjejaskan kedua-dua pihak. Cuma untuk saya, spekulasi itu tak betul.
“Saya masih mencari wanita dari negeri Kelantan memandangkan saya bakal menjengah usia 30 tahun pada tahun depan.
“Saya akui untuk menjadi kepunyaan seseorang pada masa sekarang agak susah, tapi saya percaya individu itu ada, cuma belum jumpa lagi.
“Bulan lepas saja saya hanya ada sehari untuk cuti rehat, begitu juga dengan bulan ini saya ada masa berehat sekitar dua hingga tiga hari saja,” katanya.
Nadhir berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis bertemu peminat sempena kempen ‘Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill’ di Bukit Bintang pada Sabtu.
Nadhir suka budu
Sementara itu, pelakon drama Projek: High Council itu juga memaklumkan bahawa wanita asal Kelantan masih menjadi pilihan hatinya.
Kata Nadhir, wanita asal Kelantan mempunyai aura tersendiri selain pandai memasak.
“Entahlah saya rasa wanita Kelantan ini ada satu aura yang sangat dekat dengan personaliti saya. Antara perkara yang buat saya minat wanita dari Kelantan ini kerana mereka pandai memasak.
“Saya tidak mengenali mana-mana wanita Kelantan sekarang ini. Saya ada ramai kenalan yang berasal dari negeri itu, cuma seseorang yang membesar di Perak, saya nampak perbezaan di antara dua negeri ini dan ia agak menyeronokkan.
“Saya mencari wanita dari Kelantan ini disebabkan saya ini penggemar budu,” ujarnya lagi.
Selain Nadhir, duta jenama terbabit iaitu Shukri Yahaya, Mierul Aiman dan Syafiq Kyle turut turun padang bertemu peminat dan memeriahkan acara itu.
Dalam masa sama, Bulan Bintang turut menampilkan 'pop-up store' serta pameran khas sempena ulang tahun ke-10 jenama itu bermula dari 12 hingga 23 Mac ini.