Hiburan
Nadhir Tak Mahu Buang Masa...Sedia Takluk Dunia Hiburan!
Juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar, 24, bersedia menceburkan diri dalam industri hiburan tanah air.
Menurut Nadhir, dia sudah lama berhasrat untuk menyertai program Hero Remaja sebagai platform menonjolkan diri, dia juga merasakan kemenangannya ini sebagai batu loncatan untuk mengejar impiannya.
"Alhamdulillah, saya bersyukur atas kemenangan ini, sejujurnya, saya tak kejar wang kemenangan, yang penting saya dapat jadikan ini sebagai satu platform untuk memulakan kerjaya sebagai pelakon.
"Sebenarnya, empat tahun lalu, saya sudah berhasrat untuk menyertai Hero Remaja, namun saya rasa tak cukup pengalaman ketika itu," katanya.
Nadhir berkata demikian ketika ditemui di sidang media Finale Hero Remaja 2020, bertempat di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam sebentar tadi.
Tambah Nadhir, dia tidak mahu membuang masa dan ingin terus mengejar cita-cita untuk menjadi seorang pelakon dan pengarah yang berkaliber.
"Selepas kemenangan ini, saya tak mahu rehat dan membuang masa, sebaliknya ingin terus bekerja.
"Jika saya berehat, saya mungkin akan tertinggal peluang kerana ramai bakat baru yang sentiasa memasuki industri.
"Saya beri masa selama empat tahun untuk mendalami ilmu lakonan, kemudian jika berpeluang saya akan cuba untuk kejar cita-cita bergelar pengarah pula," katanya lagi.
Dalam pada itu, Nadhir juga amat mengagumi bakat lakonan dan pengarahan Namron.
"Saya kagum dengan bakat dan kesungguhan Namron sebab dia ada identiti tersendiri. Dia buat karya dengan penuh minat, bukan sebab nak kejar duit.
"Kita sebagai penonton harus sentiasa menyokong industri seni tempatan agar naskhah-naskhah ini dapat pergi lebih jauh.," tuturnya menutup bicara.
Must-Watch Video