Nadia Aqilah Kongsi Gambar Bayi, Pilih Nama Anak Senja

ZULHILMI JALIL
Disember 9, 2019 04:25 MYT
Pelakon Nadia Aqilah berkongsi gambar bayi sulungnya kepada umum buat pertama kali di Instagram semalam selepas selamat melahirkan seorang puteri pada 4 Disember lalu.
Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Aqilah Bajuri, 34, turut mendedahkan nama bayi sulungnya itu yang diberi nama, Senja Aqila.
"Mama kata saya nakal sebab keluar awal tiga minggu. Namun, Mama juga beritahu apabila dia mendengar tangisan pertama saya, segala sakit di dunia sudah tak ada makna sebab Senja dah ubatkan segala-galanya.
"Saya tak sabar nak kenal dengan Baba dan Mama. Tolong beri sedikit masa untuk saya menghabiskan masa dengan mereka sebelum makcik dan pakcik datang untuk memberikan ciuman dan kasih sayang okay? Kalau anda tak sihat, boleh datang selepas anda semua sembuh ya? Saya anak kesayangan Baba, Senja Aqila Binti Saiful Ridzuan," tulis Nadia di ruangan kapsyen.
Perkongsian nama Senja itu kemudian mendapat pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya yang menyifatkan nama tersebut cukup unik.
"Senja! Perkataan yang saya suka! Saya pernah buat teater Tajuk Senja Lara. Senja, awak juga akan jadi kesayangan saya,tak sabar nak berjumpa awak," tulis aktres Dr. Norzizi Zulkifli.
Pelakon filem Dendam Pontianak itu selamat melahirkan bayi sulungnya seberat 2.95 kilogram pada 4 Disember lalu.
Nadia mendirikan rumah tangga dengan Saiful Ridzuan pada 20 April 2018.
#pelakon #Pelakon #Nadia Aqilah