Hiburan
Naim Daniel Mengaku Tinggalkan Kekasih, Kini Dalam Fasa 'Healing' - "Ya Betul, Saya Sendiri Ambil Keputusan Untuk Berpisah..."
Penyanyi, Naim Daniel, mengakui dia terlebih dahulu membuat keputusan untuk berpisah dengan teman wanitanya yang juga merupakan rakan dalam industri hiburan.
BERITA BERKAITAN: Erissa Puteri Kini Tunangan Daniel Iskandar, Tak Sangka Jodoh Datang Awal Di Usia 22 Tahun - “Kami Kenal Pun Tak Sampai Setahun”
BERITA BERKAITAN: Netizen Terkejut Ina Naim Beri Jawapan ‘Kasar’ Selepas Disoal Pekerjaan Suami – “Wow Dah Lain Sangat Ya”
Mengakui 'sakit' berdepan detik perpisahan bersama kekasih hati, dia kini masih dalam fasa untuk belajar melupakan semua kenangan yang dicipta hampir lima tahun.
" Ya betul saya sendiri ambil keputusan untuk berpisah. Sebab apa? biar saya dan dia sahaja yang tahu.
"Sakit, sakit sangat. Bagi saya 2024 merupakan tahun teruk yang saya hadapi. Bukan senang kita nak lupakan semua kenangan bersama.
"Tetapi itu semua jodoh. Kalau tiada jodoh nak buat macam mana," katanya kepada Gempak ketika ditemui di acara XO House x High Cultured House Party, di Bantley Music Auditorium, Petaling Jaya pada Jumaat.
Katanya setakat ini, kerjaya membuatkan Naim terpaksa meletakkan perancangan kahwin dalam senarai menunggu.
Bagaimanapun dia tidak menolak jodoh andai ditakdirkan bertemu dengan seseorang dalam masa terdekat.
"Setakat ini hati saya belum diisi mana-mana wanita. Saya cuma boleh cakap memang saya solo sehingga hari ini.
"Tetapi andai saya ditakdirkan bertemu jodoh dalam waktu terdekat, saya terima.
"Saya memang ada niat untuk berkahwin sebenarnya. Cuma jodoh sahaja tiada," katanya.
Tahun lalu, penyanyi lagu Sumpah itu pernah berkongsi kekosongan jiwanya terisi apabila seorang rakan wanita berjaya mengetuk pintu hatinya.
Bagaimanapun, Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin enggan memperkatakan lebih lanjut mengenai pendedahan yang pernah dibuat sebelum ini.
Kata Naim, lukanya masih terasa, dia kini tidak mahu terus mengenang kisah silam.
"Saya harap tahun ini ada perkara-perkara yang baik berlaku pada diri saya.
"Kalau boleh memang saya tak mahu ingat lagi tetapi untuk lupakan terus tak boleh. Ambil masa sikit," katanya.
Untuk rekod sebelum ini, penyanyi Sumpah itu secara terbuka memberitahu dirinya sedang bahagia dengan wanita yang juga dalam industri hiburan.
Bagaimanapun, Naim ketika itu tidak mendedahkan mengenai hubungannya dengan gadis bertuah itu.