Bekas juara dunia sukan boling, Shalin Zulkifli dilantik sebagai penasihat teknikal drama ‘Ratu 10 Pin’ untuk berkongsi kepakaran sekaligus memberi informasi yang lebih tepat berkenaan teknik sukan boling.

Drama bersiri ‘Ratu Ten Pin’ ialah sebuah naskhah asal yang mengetengahkan penceritaan bertemakan sukan boling terbitan syarikat produksi JS Pictures Sdn. Bhd.

Drama 16 episod ini turut mendapat sentuhan Azman Yahya atau lebih sinonim dengan panggilan Jinggo selaku pengarah serta Rozse Faisal dan Chinta Adeesha selaku penulis skrip.

“Proses pembikinan drama yang mengangkat genre sukan bukanlah mudah. Tumpuan atau penekanan penuh perlu diberikan untuk setiap babak yang ingin dihasilkan kerana ia melibatkan sesuatu yang di luar konteks.

“Menterjemahkan sesebuah visual melalui skrip juga merupakan antara cabaran paling sukar sebagai pengarah.

"Bukan itu sahaja, cabaran untuk menjadikan seorang atlet kepada seorang pelakon dan sebaliknya juga merupakan sebuah kejayaan yang tidak sangka dapat dilakukan dalam tempoh masa cuma sebulan.

"Bagi mendapatkan ‘feel’ sebenar, kami turut membawa masuk khidmat atlet luar biasa bertaraf dunia untuk sukan boling iaitu Shalin Zulkifli untuk membantu kami daripada segi teknikal.

“Kami juga turut mendapatkan bimbingan pasukan bowling yang sebenar untuk melatih barisan pelakon agar lakonan menjadi lebih mantap dan tidak Nampak seperti dibuat-buat,” katanya.

Sementara itu Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal berkata Emarina Kamal, Astro kali ini cuba lari dari kebiasaan dan mengangangkat genre sukan kepada audiens.

“Selepas berakhirnya drama ‘Scammer’ yang baru sahaja tamat minggu lalu, kami sekali lagi cuba lari daripada kebiasaan dan memilih untuk mengangkat genre sukan kepada audiens kami.

“Walaupun genre sebegini mungkin jarang kami pertontonkan, namun ia tetap mempunyai keunikannya yang tersendiri dan dilihat mampu menarik minat peminat drama Melayu tempatan khususnya.

“Acara sukan dan program hiburan sebenarnya mempunyai elemen persamaan iaitu kedua-duanya bukan sekadar untuk dinikmati atau ditonton bersama tetapi ia juga bersifat sebagai ejen perpaduan dalam menyatukan masyarakat.

“Penceritaan drama ‘Ratu Ten Pin’ banyak menyuntik nilai-nilai murni untuk memberi inspirasi kepada kita semua terutamanya berkenaan semangat kesukanan, perjuangan, persahabatan, kecekalan dan sebagainya dalam bentuk hiburan santai.

“Tahniah saya ucapkan kepada Jinggo selaku pengarah dan keseluruhan team produksi kerana berjaya merealisasikan drama ini menerusi penceritaan yang kreatif dan di luar kotak.
“Semoga drama ini sekali lagi mengulangi kejayaan drama-drama sebelum ini sekaligus mencipta fenomena yang tersendiri,” katanya.

Drama ‘Ratu Ten Pin’ menampilkan Elisya Sandha, Syaidatul Afifah dan Fify Azmi selaku teraju utama. Antara nama-nama besar lain yang membintangi drama menarik ini termasuklah Hazeeq Dean, Nazim Othman, Sheila Rusly, Nasz Sally, Eizlan Yusof, Aleeza Kasim, Esma Daniel dan Lisdawati.

Drama ‘Ratu Ten Pin’ akan bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 28 Jun 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.