Pelakon Datin Paduka Eina Azman lebih selesa terlibat dalam sesebuah projek yang tidak memakan masa yang lama.

Menurut Eina, dia perlu mempertimbangkan perkara tersebut kerana komitmen kepada suami dan keluarga sentiasa menjadi keutamaan.

"Untuk kerjaya seni dalam tahun 2021 ini, semuanya bergantung pada keadaan, saya akan lakukan kerja yang mudah dan cepat, tidak makan masa yang terlalu lama untuk saya memandangkan saya sudah berkeluarga.

"Bukan tak boleh buat kerja yang lama, tetapi ia agak terbatas, kalau nak pergi outstation pun saya kena fikir dua tiga kali," katanya kepada Gempak baru-baru ini.

Dalam pada itu, Eina yang terkenal dengan kerajinan memasak itu sempat berseloroh mengatakan hobi tersebut akan diteruskan tanpa henti.

"Bab memasak saya memang tak boleh berhenti, walaupun tanpa penglibatan dengan jenama Maggi, saya memang selalu memasak setiap hari.

"Suami dan keluarga saya memang suka makan, saya akan masak waktu pagi, siang dan malam, tengah pagi pun saya akan masak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Eina kini tampil dalam drama The Maid yang mula bersiaran malam tadi, setiap Rabu, jam 9.00 malam di Astro Ria (104).

Selain Eina, The Maid turut menampilkan barisan pelakon popular lain seperti Norman Hakim, Sherry Alhadad, Mira Filzah dan ramai lagi, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!