Susulan tular video membuang gula-gula di atas pentas ketika menjayakan persembahan di Konsert Merdeka 65 baru-baru ini penyanyi Shila Amzah memohon maaf atas tindakannya itu.

Kata Shila, dia sememangnya punyai tabiat mengunyah gula-gula berangin untuk menyejukkan tekak sebelum persembahan.

"Saya memang ada satu tabiat sebelum membuat persembahan, iaitu saya suka mengunyah gula-gula berangin untuk menyejukkan tekak.

"Selepas dah menyanyi bahagian ‘adlip’, rasa macam nak tercekik dan terganggu. Nak telan, takut tersekat pula. Bila tengah tak sihat, ruang udara macam terbatas, jadi, saya kena buang gula-gula itu," ujarnya.

Shila ditemui pada majlis sidang media pengumuman calon top 5 Anugerah Industri Muzik 23 di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Khamis.

Tambah Shila lagi, dia sentiasa beringat (tentang tabiatnya itu) memandangkan pernah 'terkantoi' sebelum ini.

"Sebelum ini, saya dah pernah ‘buat hal’ di acara akhir Anugerah Juara Lagu yang mana, turut ‘tertangkap’ oleh kamera. Selalunya, saya memang ingat dan tak pernah buat dah.

"Bila dah berlaku sekali lagi dan tular, saya tak boleh nak buat apa sebab benda dah jadi. Bagi saya, ini adalah hiburan. Orang nak cakap apa pun, cakaplah," katanya.

Untuk AIM23, Shila tercalon dalam tiga pencalonan iaitu Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu menerusi lagu Bahagiakan Dia bersama Liza Hanim, Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama menerusi lagu Khilaf Asmara dan Bahagiakan Dia.