Sebuah teater muzikal kontemporari yang mempersembahkan semula legenda termasyhur Pulau Langkawi, Mahsuri, yang berjudul Pulau Sri.

Menariknya teater ini, ia akan dipersembahkan di tepi pantai di Holiday Villa Beach Resort & Spa di Pantai Tengah, Pulau Langkawi.

Pulau Sri- Never Destroy An Island With A Lie adalah projek teater muzikal yang merupakan inisiatif komuniti Suatukala, bakal dipersembahkan pada 27 November ini.

Turut menggabungkan adunan kesenian dan tradisional negeri Kedah, Mek Mulung, naskah ini diterajui penyair terkenal, Sheena Baharudin serta pemuzik Takahara Suiko.

Persembahan itu juga akan menampilkan 13 pelakon wanita termasuk bakat tempatan Langkawi.

Disokong oleh program Arts for All Seasons Yayasan Hasanah, persembahan secara langsung itu juga adalah usaha berterusan Suatukala dalam menceritakan semula kisah-kisah legenda kepada golongan belia dan kanak-kanak di Langkawi.

Memberi peluang kepada belia dan kanak-kanak untuk menonton persembahan itu akan mendedahkan mereka kepada keajaiban teater muzikal.

Ia juga adalah salah satu cara untuk mengekalkan legenda Langkawi dan menjadikannya relevan kepada generasi semasa dan akan datang.

Setiap pembelian tiket Pulau Sri akan disumbangkan kepada belia dan kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Pulau Langkawi.

Kepada anda yang ingin menonton Pulau Sri, tetapi tidak dapat menghadirkan diri turut dialu-alukan untuk membeli tiket sebagai sumbangan.

Tiket berharga RM95 setiap satu dan boleh dibeli secara dalam talian melalui kod QR atau di: http://t2u.asia/e/26165