Dek kerana penangan drama bersiri Pujaan Hati Kanda yang mendapat perhatian ramai, nama pelakon Mira Filzah diabadikan di sebuah pondok menunggu bas.

Mira merakamkan sekeping foto di lokasi yang terletak di Alor Gajah, Melaka itu dan memuat naiknya di laman Instagram pada awal bulan ini.

Kini, lokasi terbabit menjadi perhatian ramai dan ada peminat yang mencari pondok bas terbabit dan mereka turut serta merakamkan foto kenangan di tempat yang sama.

Akaun Facebook milik Tourism Melaka mendedahkan perkara ini menerusi sebuah status yang dimuat naik pada 14 Januari lalu.


"BUS STOP VIRAL ALOR GAJAH.

"Jangan korang tak tau, bus stop di Alor Gajah ni tetiba jadi popular. Nak tau sebab apa. Sebab pujaan hati korang.

"Dinda Mira Filzah abadikan momen percutian nya di Alor Gajah di bus stop ni lah!

"Makcik rumah sebelah tu pon dah mula pelik kenapa sejak dua tiga hari lepas ramai sangat orang datang bergambar kt bus stop ni.

"Kalau u all nak dapatkan gambar-gambat yang super awesome and insta-worthy, apa kata korang pulak pose mcm Mira Filzah di bus stop ni.

"Cari bus stop yang hanya berdepan dengan Madrasah Sungai Ragok Hilir, Ayer Paabas, Alor Gajah.

"Tolong abaikan model min yang gemuk tu yer! Dia pon nak acah Dinda Kanda jugak. Selamat berpose ala Mira Filzah!" tulis akaun terbabit.

Menariknya, pondok menunggu bas itu juga telah dicantikkan semula oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah.


"Terima kasih kepada team Majlis Perbandaran Alor Gajah yang membantu Tourism Melaka mencantikkan bus stop "Mira Filzah" dan memasang papan tanda tersebut," tulis akaun Facebook Tourism Melaka Sabtu lalu.