Hiburan
NAMA & Yaashwin: Ini 4 Perkara Best Mengenai Wakil Malaysia ke Final Asia's Got Talent...
Dua wakil Malaysia, Yaashwin Sarawanan dan kumpulan NAMA menempah tempat ke pusingan akhir Asia's Got Talent (AGT) musim ketiga yang bakal berlangsung pada 4 April ini.
Yaashwin menonjolkan bakat mengira dan diberi gelaran 'Human Calculator' manakala kumpulan NAMA diwakili empat orang gadis yang membuktikan bakat tak seharusnya dinilai dari luaran, terutamanya menerusi penampilan mereka yang berhijab dan menutup aurat.
Bersempena pusingan akhir AGT musim ketiga, Gempak senaraikan 4 perkara 'best' mengenai wakil Malaysia ke pentas akhir AGT!
1. Cipta Sejarah Tersendiri
Selepas tiga musim diwujudkan, musim terbaru AGT menyaksikan sejarah baru tercipta apabila dua wakil Malaysia berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.
Pada musim pertama, tiada peserta Malaysia yang layak manakala di musim kedua AGT, ahli silap mata Syria yang menetap di Malaysia, Sobhi Shaker menjadi wakil tunggal ke peringkat akhir AGT.
2. Semuanya Bawah 28 Tahun, Malah Ada Yang Lagi Muda!
Jangan tak tahu, semuanya muda-muda belaka! Kumpulan NAMA dianggotai oleh empat gadis iaitu Nur Fazrina Mohd Ani, 28, Noor Syamimi Makhetar, 24; Norfazira Malik, 24; dan Nur Farahida Dolhadi, 24 manakala Yaashwin pula baru sahaja berusia 15 tahun! Ya, dia merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2, Cheras, Selangor!
3. Bakal Berentap Dengan Peserta Indonesia, Taiwan dan Filipina!
Di gelanggang akhir nanti, NAMA dan Yaashwin bakal berentap dengan lima peserta lain iaitu Siti Saniyah dari Indonesia, Shadow Ace dan Junior Good Vibes dari Filipina serta Maniac Family dan Eric Chien dari Taiwan.
4. Bawa Harapan Rakyat Malaysia!
Ya, NAMA dan Yaashwin membawa segunung harapan rakyat Malaysia yang ingin melihat nama negara harum di persada antarabangsa! Sudah pastinya peminat AGT dan rakyat Malaysia yang menonton tidak sabar mahu menantikan aksi NAMA dan Yaashwin serta berharap agar mereka dapat menjuarai musim ketiga AGT!
Pusingan akhir musim ketiga AGT bakal bersiaran pada 4 April ini, di Marina Bay Sands, Singapura dan keputusan pertandingan akhir bakal diketahui pada 11 April.
AGT menawarkan hadiah wang tunai sebanyak AS$100,000 (RM408,151) kepada pemenang utama.
Pusingan terakhir dan keputusan pusingan akhir AGT musim ketiga ini bakal bersiaran di saluran AXN HD (Astro 721) dan AXN (Astro 701) bermula jam 8.30 malam.
Must-Watch Video