Laman Utama
"Nampak Sama Tapi Bukan Dia…" - Rahman Hamid Dipanggil Khai Bahar Celup!
Pendatang baru, Rahman Hamid mengakui pernah ditarik peminat Khai Bahar untuk bergambar gara-gara rupa paras mereka yang hampir sama.
Yang terbaru, insiden tersebut berlaku ketika menghadiri Konsert Nafas Cinta Khai Bahar baru-baru ini.
“Ketika menghadiri konsert Khai Bahar baru-baru ini, saya terkejut bila peminat Khai tiba-tiba tarik saya untuk bergambar.
“Tetapi selepas itu mereka tersedar yang mereka sebenarnya salah orang. Saya rasa mungkin sebab pakai pelitup muka mereka sangkakan saya Khai,” katanya.
Tambah pelakon drama I Promise Janji Anaqi itu lagi, walaupun ada yang mengatakan dia dan Khai ada persamaan, namun tidak pernah terlintas menggunakannya untuk meraih populariti.
“Jujur saya adalah peminat Khai Bahar, bila ada yang kata kami nampak seiras itu satu penghormatan buat diri saya.
“Tetapi siapalah saya jika hendak dibandingkan dengan Khai. Saya juga tidak pernah terfikir untuk menumpang populariti Khai,” katanya.
Jejaka berusia 26 tahun kelahiran Kuantan itu mula menunjukkan bakat lakonan menerusi drama Angkara Cinta yang melakonkan watak Benji.
Selain itu Rahman juga telah membintangi beberapa telemovie lain seperti Tentang Alif dan juga Kak Kek Ngaja Oppa Kecek.
Selain bidang lakonan, Rahman juga sangat aktif dalam aktiviti sukan Muay Thai dan pernah memasuki beberapa pertandingan sebelum ini.
“Saya amat meminati aktiviti aksi lasak dan menjadi impian saya untuk melakonkan watak dalam filem aksi satu hari nanti,” katanya.
Akuinya lagi, bukan senang untuk dia menceburi bidang lakonan, tambahan lagi dengan kehadiran ramai bakat baharu kini.
“Saya akui perlu bekerja keras untuk bersaing dan meletakkan nama saya dalam bidang ini.
“Saya berharap dengan sokongan semua saya akan dapat terus mewarnai industri seni tanah air.
“Saya juga akan memberikan yang terbaik untuk terus kekal relevan. Bakat dan minat yang saya ada ini tidak akan disia-siakan, Insya-Allah,” katanya.