Anggota kumpulan Billy Zurkarnain dan pelakon, Nine berkongsi lima bintang pilihannya yang bakal mara ke konsert akhir Gegar Vaganza 2019 (GV2019).

Bagi pemilik nama sebenar Mior Zulkarnain Mohd Zamhuri, 37, dia mengikuti setiap konsert mingguan GV2019 yang sedang berlangsung setiap Ahad di Auditorium MBSA, Shah Alam.

“Lima peserta pilihan saya adalah pastinya Naqiu, kemudia Hady Mirza, Nurfatima, Jatt Ali dan Roy akan beraksi di konsert akhir,” jelas Nine kepada Gempak.

Nine yang juga bekas bintang GV ditemui ketika menjalani penggambaran drama Satukan Rasa bertempat di Star Avenue Lifestyle Mall, Sungai Buloh pada Rabu.

Bakal mengeluarkan single terbaru berjudul Sedap, Nine dan Billy masih mencari tarikh yang sesuai untuk melancarkan lagu tersebut.

“Kami masih mengekalkan konsep R&B tetapi dengan sedikit sentuhan pop. Tahun terakhir kami melancarkan lagu adalah pada tahun 2005 dan kami meletakkan kepercayaan kepada Omar K untuk meletakkan lagu kami sebariskan dengan pasaran tahun 2019.

Dalam perkembangan lain, Nine turut berlakon bersama Siti Nordiana dan Khai Bahar menerusi drama Satukan Rasa terbitan Suhan Movies.

Diarahkan oleh Hadith Omar, drama rantaian terbaharu ini mengisahkan Indah (Siti Nordiana), seorang balu dan ibu yang pernah menjadi seorang penyanyi terkenal suatu ketika dahulu.

Indah terpaksa masuk semula ke dalam industri muzik tanah air selepas dia dipadankan untuk membantu Jai (Khai Bahar), penyanyi viral yang mempunyai masalah gemuruh di atas pentas.

Jangan lupa saksikan drama Satukan Rasa di slot Megadrama mulai hari ini, 4 November 2019, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).