Selain ingin menunjukkan tanda sokongan kepada negara dalam menangani penularan virus Covid-19, rupa-rupanya ada sebab pelakon popular, Nazim Othman turut sama menawarkan diri sebagai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pelakon drama Ratu TenPin itu mengaku berasa sedih apabila melihat kadar vaksinasi masih rendah di kalangan rakyat yang boleh menyebabkan proses kembali hidup bebas seperti sediakala dibimbangi mengambil masa lebih panjang.

“Saya nak buka mata orang supaya tak takut ambil vaksin. Saya jadi sukarelawan sebab nak rasa pengalaman sendiri tolong orang di PPV dengan harapan makin terbuka orang lain akan ikut sama sebagai sukarelawan dan ada kesedaran vaksinasi,” katanya menerusi program MeleTOP semalam.

Nazim menerusi hantaran di Instagram malam tadi dilihat ‘memancing’ peminat dengan video acah-acah berfesyen ke PPV di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) ibarat bergaya ke ABPBH sebelum bertukar serius memberi pesanan kepada peminat.

“Jangan lupa check MySejahtera untuk elakkan daripada terlepas appointment for your vaccine. (beribu manusia terlepas pandang ya).

“Ramai orang tengah menunggu giliran vaksinasi dengan penuh sabar. Jadi kepada yang dah dapat appointment, mohon hadirkan diri.”

“Setiap PPV memerlukan barisan volunteers untuk melancarkan kawalan orang awam yang hadir untuk proses vaksinasi. Daripada terkurung kat rumah boleh la check out this website for volunteering purposes: www.myvac.com.my.” jelasnya.

Menutup kata, dia sempat mengingatkan lagi agar kita bersama menjalankan tanggungjawab sosial masing-masing demi menamatkan pandemik Covid-19.

Instagram: @nazimothman