Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang disahkan positif COVID-19 berada dalam keadaan stabil.

Nazri kini sedang menjalani kuarantin di Hospital Raja Perempuan Zainab di Kota Bahru, Kelantan bermula petang Isnin.

“Saya stabil tidak ada sebarang masalah.

“Don’t worry, I’m okay, seronok duduk di hospital ni,” katanya kepada Astro AWANI.

Nazri menjelaskan beliau hanya mengetahui salah seorang yang hadir sidang medianya positif COVID-19 beberapa hari lepas.

Katanya, sebaik mengetahui berita tersebut, beliau terus melakukan ujian saringan COVID-19 dan keputusannya diketahui petang Isnin.

“Petang semalam result keluar, saya positif dan saya terus menjalani kuarantin di hospital ini,” katanya lagi.

Terdahulu, seorang pemerhati politik Datuk Zaharin Mohd Yassin yang turut hadir ke sidang media Nazri pada 12 Januari lalu disahkan positif COVID-19.

Zaharin kini menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Selain Nazri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed turut disahkan positif COVID-19 dan kini menerima rawatan di hospital yang sama.