Hiburan
Nazrief Nazri Nafi Jalin Hubungan Istimewa Dengan Aishah Ilias
Pendatang Baharu, Nazrief Nazri menyangkal dakwaan sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan pelakon Aishah Ilias.
Menurut Nazrief Nazri atau Mohamad Nazrief Mohamad Nazri, 25, mereka mengenali antara satu lain dan hubungan mereka sekadar rakan artis sahaja.
“Ya saya dan Aishah memang berkawan tetapi bukan ke arah yang serius. Pertama kali kami bertemu tahun lalu di Anugerah Festival Filem Malaysia dan selepas itu hanya berhubungan menerusi media sosial.
“Baru sekali keluar bersama terus tersebar foto saya sedang dukung anak buah Aisyah di internet dan ramai pula ingat kami sedang berkawan rapat,” kata Nazrief kepada Astro Gempak.
Nazrief Nazri diminta mengulas lanjut mengenai perkembangan terbaru hubungannya dengan Aishah Ilias sewaktu di majlis pelancaran program Iman di The Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur.
Jelas Nazrief, ramai peminat terkejut dan memberi reaksi negatif apabila foto tersebut disebarkan.
“Saya tiada masalah pun bila foto saya sedang dukung baby tersebar, apa yang kurang enak ada pula orang beri komen dan tanya perkara yang bukan-bukan. Itu yang buat saya rasa tak selesa sikit,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dia tidak mempunyai masalah untuk berkawan dengan Aisyah walaupun jarak usia yang berbeza.
“Saya okay nak berkawan dengan wanita lebih berusia dan kalau dah jodoh saya terima sahaja. Cuma sekarang saya mahu fokus dunia lakonan dan belum bersedia untuk beri komitmen bercinta,” jelas Nazrief.
Mengulas lanjut mengenai penglibatannya dalam drama I-Kids, Nazrief Nazri akui mempunyai cabaran tersendiri apabila bergandingan dengan ramai pelakon kanak-kanak seperti Rykarl Iskandar, Mia Sara, Qistina Raisah dan ramai lagi.
“Pertama kali di tawarkan oleh pihak Astro untuk pegang watak sebagai bapa kepada Alif yang dilakonkan oleh Rykarl Iskandar agak terkejut juga sebab rasa macam tak sesuai pula dengan usia saya.
“Rupanya mereka mahu watak bapa yang muda yang fun dan ala-ala Hipster, jadi terus setuju sebab ianya berunsurkan Islamik dan beri banyak pengajaran berguna kepada umum terutamanya kanak-kanak.
“Bila bekerjasama dengan pelakon kanak-kanak yang berbakat ini sangat berbeza dan susah juga. Kadang-kala mereka tidak serius dan suka sangat main-main di set penggambaran hingga buat saya tegur dan jadi garang sebab terikut-ikut karakter dalam bapa dalam I-Kids,” katanya.
Drama I-Kids yang akan disiarkan setiap hari Rabu hingga Jumaat bermula jam 6.30 petang di saluran Astro Ceria (611) dan Astro Oasis (106).
Must-Watch Video