Kisah kompaun tak masuk akal bernilai RM50,000 terhadap penjaja burger dalam kampung di Kelantan menjadi buah mulut netizen sejak beberapa hari lalu.

Dikenakan denda akibat berniaga lebih masa, cerita Abe Burger itu antara lainnya menarik perhatian pelbagai pihak untuk menyalurkan bantuan antaranya selebriti Neelofa, Caprice dan PU Azman.

BACA: Neelofa Mahu Bantu Bayarkan Kompaun Abe Burger - "Ya Allah Ramainya Salah Anggap & Bersangka Tidak Baik"

BACA: Perlu Bayar 5 Hari Sebelum Raya, Caprice Buat Tabung Bantu Peniaga Burger Kena Kompaun RM50K

Bagaimanapun, seorang pemilik akaun Twitter tampil memuat naik komen di Facebook mengenai pendedahan yang dibuat netizen mengenai Abe Burger itu.

Selain didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan berniaga lebih masa, lelaki itu juga dikatakan telah berdegil dan membuat kesalahan sama berulang kali walaupun diberikan amaran.

Malah, difahamkan dia telah dikompaun berkali-kali.

Turut didedahkan, peniaga itu menjalankan urusniaga sehingga pukul 4 pagi seperti yang didakwa pengguna laman sosial Facebook.



Menerusi laman sosialnya juga, Abe Burger dikatakan bukan dari golongan susah kerana pernah memuat naik gambar menjamu selera di restoran makanan mewah dengan bil mencecah RM1,000.

Namun, ada yang memujuk hati dengan menganggap perkongsian itu sekadar kenangan yang ingin dikongsikan Abe Burger yang dapat menjamu selera di restoran makanan mewah.



Pendedahan itu terus menimbulkan keraguan ramai terutama mereka yang tampil membelanya selepas tular kisah dia dikompaun RM50,000 baru-baru ini.

Dalam pada itu, ramai juga yang meluahkan rasa simpati terhadap pihak yang bersungguh-sungguh mahu membantunya.

Caprice di ruang Instagramnya tampil dengan tanda tanya. Tulisnya; "Burger plot twist ker gang? Tapi ada yang betul-betul terdesak. Cuma kesian selepas baca FB rasa macam kita semua kena game."



Sehingga kini, individu berkenaan belum memberikan sebarang maklum balas berhubung dakwaan ini.

Pihak berkuasa juga dimaklumkan masih menjalankan siasatan dan dia juga belum menyelesaikan kompaun tersebut.

Sumber: Twitter