Tindakan pelakon dan penerbit popular, Sheila Rusly, 50, memuat naik sebuah video bersolat tarawih secara berjemaah di sebuah pusat boling di Petaling Jaya telah mengundang kritikan netizen di laman sosial.

Menerusi rakaman yang dikongsikan di Instagram (IG), kelihatan suami Sheila, Jinggo sedang mengimamkan solat sambil diikuti kumpulan jemaah lelaki dan perempuan di belakangnya.

Timbul ketidakpuasan hati dalam kalangan warganet adalah disebabkan tidak ada penjarakan sosial di antara jemaah, tidak memakai pelitup muka ketika bersolat malah ada adegan bersalaman.

"Tak pakai mask, tak patuh garis panduan dan operasi standard (SOP), tak ada penjarakan fizikal. Tapi serius la. Tarawih? Di pusat bowling? Di tengah-tengah orang ramai? Faham nak tarawih tapi boleh kot tarawih lepas bowling di rumah? Selagi tak subuh, selagi tu boleh buat," tulis seorang pengguna bernama @AnisAshaari di laman Twitter.



Wanita itu juga menggesa pihak berkuasa untuk membuat siasatan bagi membongkar kebenaran.

Ruangan komen di IG juga diserbu oleh segelintir individu yang kesal dengan tindakan pelakon drama Pia itu.




Sebelum ini, Sheila menyatakan dia masih sempat melakukan ibadah dengan bersolat tarawih secara berjemaah biarpun suasana di pusat boling tersebut kelihatan sibuk dengan kehadiran pengunjung.

"Malam kelapan. Tiada lagi alasan. Islam itu syumul (sempurna dan menyeluruh). Iftar (berbuka puasa) dan tarawih bersama dengan keluarga besar saya.

"Solat Isyak dipimpin oleh Tuan Haji Jinggo (suami), manakala solat sunat tarawih dipimpin oleh saudara @itsokaymarr," tulisnya.

Difahamkan, video berkenaan diambil oleh bakal menantu Sheila dan Jinggo iaitu pelakon Elisya Sandha.