Bakal timang cahaya mata kedua, selebriti terkenal Neelofa mendedahkan dia menerima banyak mesej pesanan ringkas (DM) di Instagram memintanya untuk menderma pakaian dan barangan bayi milik anak sulungnya, Muhammad Bilal.

Menjelaskan perkara itu, Neelofa berkata pakaian dan barangan tersebut tidak akan diderma atau diberikan kepada sesiapa kerana mahu digunakan semula untuk anak keduanya yang bakal dilahirkan kurang dari sebulan.

“Saya buka semula barang-barang baby yang boleh digunakan semula untuk adik Bilal. Ramai pula yang DM saya minta baju-baju Bilal.

“Kenapa pula saya nak bagi orang sebab saya sendiri nak pakai untuk anak nombor dua.

Mungkin ada orang yang tak tahu saya sedang mengandung kot,” katanya.

Neelofa berkongsi mengenai perkara itu menerusi satu video pendek yang dimuat naik di Instagram Stories (IG Story) miliknya baru-baru ini.

Justeru, isteri kepada pendakwah terkenal Hariz Ismail atau PU Riz itu memohon agar orang ramai untuk tidak bertanyakan mengenai perkara tersebut lagi selepas ini.

“Jangan pula lepas ni ada yang DM minta saya, cakap baru mengandunglah, mahu melahirkan anak lagi dua bulanlah, ini untuk anak saya puan,” ujarnya.

Sama seperti kandungan pertama, Neelofa dan suami tetap memilih untuk tidak mendedahkan jantina anak mereka sehingga bersalin kelak.

Pun begitu, menerusi video yang dikongsikan Neelofa, ia seakan-akan memberi bayangan mengenai jantina anak keduanya.

Terdahulu, bekas hos program hiburan MeleTop itu mengesahkan mengenai kehamilan keduanya selepas usia kandungan sudah memasuki trimester kedua.

Untuk info, Neelofa dan PU Riz mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan puter sulung bernama Muhammad Bilal pada 29 Januari tahun lalu.