Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn. Bhd., Burhanuddin Md Radzi tampil memberikan respon berhubung video yang tular mengenai kubur karakter Upin dan Ipin seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Jelas Burhanuddin menerusi kenyataan di Facebook, dia akui terkejut dengan penyebaran berita terbabit dan memohon agar peminat tidak bimbang.

"Upin Ipin meninggal dunia? Pagi ini Atok (panggilan diri) terkejut apabila membaca berita dari Jakarta yang mana Upin Ipin telah meninggal dunia kerana kemalangan ketika bercuti di Sulawesi.

"Macam mana mereka pergi bercuti sedangkan sekolah di Malaysia masih berjalan. Malah, pagi tadi pun saya yang menghantar mereka ke sekolah tadika.

"Kepada peminat Upin dan Ipin, jangan bimbang mereka masih sihat dan akan kembali menemui rakan-rakan mereka dalam musim baharu.

"Ia akan menjadi lebih mengujakan dan standard animasi pun dinaik taraf. Terima kasih kepada peminat yang mengambil berat," tulisnya pada Isnin.



Terdahulu, sepotong video yang memaparkan kubur berwarna biru dengan tulisan karakter Upin dan Ipin tular di media sosial.

Menerusi tulisan di batu nisan kedua-dua kubur terbabit, tertera tarikh 2 April 1996 merujuk kepada tarikh kematian Ipin manakalah Upin meninggal setahun sebelumnya iaitu 6 Ogos 1995.

Dalam kenyataan video berkenaan, cerita Upin Ipin didakwa dibuat berdasarkan khayalan semata-mata dan pemilik video berkenaan memaklumkan rakaman itu diperoleh dari kenalannya di Malaysia.

"Video ini Along dapat dari teman yang juga orang Malaysia. Katanya ini berdasar kisah dari nenek di sana yang diadaptasi ke dalam animasi," tulis akaun tersebut.