Tiada angin tiada ribut, nama pelakon Afieq Shazwan baru-baru ini menjadi bualan netizen apabila dia muncul sebagai pelakon utama menerusi drama bersiri terbaharu Diari Seorang Suami.

Hal ini kerana, ramai yang menyifatkan wajah Afieq tidak bersesuain dengan watak Hairi yang membuat keputusan kahwin lari pada usia 18 tahun setelah hubungan bersama Neesa (Yuna Rahim) mendapat tentangan keluarga.

Menerusi komen-komen yang ditinggalkan netizen, wajah Afieq dikatakakan tidak komersial dan imejnya hanyalah ‘so-so’ sehingga menyebabkan kurang daya penarik terhadap drama lakonannya.

Ketika berpeluang bertemu dengan Afieq secara maya, pelakon dan juga penyanyi itu memulangkan kembali soalan kepada netizen tentang ciri-ciri pelakon yang mempunyai wajah komersial.

“Okay kita tanya balik, komersial tu macam mana? Wajah komersial sekarang dengan komersial dulu macam mana? Sejujurnya, ini peluang saya. Jadi, komersial atau tidak terpulang pada selera penonton.

“Saya sudah berikan yang terbaik. Saya sendiri rasa watak ini berat untuk dijayakan. Komersial atau tidak, saya tidak boleh komen sebab tertakluk pada bagaimana orang melihat saya. Nilai komersial itu bersifat subjektif dan saya tiada jawapan yang tepat,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Afieq turut menjawab tentang segelintir penonton yang masih melihat Afieq sebagai seorang pelakon kanak-kanak, sungguhpun usianya kini susah menginjak ke angka 24 tahun.

“Saya sedar tentang perkara ini. Mungkin penonton sudah terbiasa melihat saya di layar kaca membawakan watak remaja, sebab itu mereka masih ada tanggapan bahawa saya masih lagi muda.

“Sebenarnya, saya ada menerima banyak tawaran berlakon bagi watak dewasa. Tetapi saya tidak dapat menjayakannya lagi atas alasan kekangan masa. Jadi, sebagai permulaan, saya membawakan watak Hairi iaitu lelaki kahwin muda,” katanya menutup perbualan.

Untuk rekod, Afieq atau nama sebenarnya Muhammad Shafieq Shazwan Zamros mengorak langkah dalam karier nyanyian selepas menyertai program Idola Kecil pada usia 11 tahun.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!