Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membalas ciapan seorang netizen yang ‘naik hantu’ mengenai isu berkaitan pemberian dos penggalak keempat.

Menurut Khairy, ketika vaksin COVID-19 dibangunkan tiada varian Delta atau Omicron.

“SARS-CoV2 adalah ‘novel’ coronavirus yakni virus baharu yang pasti akan melalui mutasi.

“Apabila kita lebih tahu kesan mutasi, respons kita perlu juga berubah.

“Di sesetengah negara flu jab diambil setiap tahun,” katanya.

Jelasnya, buat masa ini kita tahu satu dos penggalak diperlukan.

“Lebih dari itu, kita kaji dari masa ke semasa bila data saintifik baharu muncul.

“Paling penting respons kita ikut data yang baharu. Ini yang dimaksud respon yang evidence-based,” katanya.

Terdahulu, Reuters melaporkan kajian mendapati penerima Sinovac dengan dos penggalak Pfizer menghasilkan tindak balas antibodi terhadap Omicron yang serupa dengan mereka yang menerima vaksin mRNA dua dos tanpa penggalak.