Perkongsian pelakon cantik Diana Danielle mendidik anak lelakinya, Muhammad yang kini berusia 8 tahun untuk melakukan kerja-kerja rumah mendapat pujian warganet.

Menerusi ciapan Diana di Twitter, dia mengasuh anak sulungnya itu untuk menanak nasi, mencuci pinggan dan adakalanya menyediakan sarapan.

"Pada umur 8 tahun, anak lelaki saya secara rasminya mengambil tugas memasak nasi, mencuci pinggan, menyediakan makanan dan kadang-kadang sarapan pagi yang ringkas dengan pengawasan.

"Ya, kita boleh mengajar budak lelaki tentang tanggungjawab asasi di rumah. Dia pun perlu makan kan? Jadi, dia harus tahu bagaimana nak memasak untuk hidup. Ini bukannya tugasan mengikut jantina," tulis Diana.



'Reformasi' anak lelaki itu tambah Diana lagi menarik perhatian ramai dan mengagumi caranya mendidik anak.

Malah, ramai yang mengakui kerja-kerja rumah asas itu sering menjadi stereotaip untuk mendiskriminasi gender dan melabelkan ia tugas hakiki golongan wanita terutama di Malaysia.

"Saya betul-betul tak faham, ramai yang ke luar negara untuk belajar dan mereka reti memasak, mencuci pakaian dan sebagainya. Balik sini (Malaysia) tiba-tiba kerja golongan wanita pula?" ciap @zazulazman.

"Manakala apabila saya suruh adik lelaki umur 8 tahun ambil nasi dan lauk sendiri, kata ibu saya 'dia kecik lagi, apa salahnya tolong buatkan'," tambah @queenFaira.

"Mak saya ajar kami cara yang sama. Dia cakap bukan anak perempuan je yang kena buat kerja rumah, memasak dan sebagainya. Lelaki pun kena pandai dan mesti buat semua ni," kata @atelianarahim.

"Memasak dan mencuci adalah kemahiran asas hidup. Semua orang patut tahu cara untuk melakukannya," tambah @ShamaaKoussa.

Diana yang mendirikan rumah tangga bersama Farid Kamil pada 2021 dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 8, dan Nur Aurora, 6 tahun.