Pendakwah selebriti, PU Azman meminta netizen untuk tidak membuat andaian sendiri berkenaan kes bunuh diri yang berlaku baru-baru ini.

Jelas PU Azman atau lebih mesra dipanggil Cik Man, netizen yang melihat kejadian tersebut seharusnya mengambil iktibar dan mendoakan kesejahteraan mangsa.

“Kita mengetahui secara asasnya membunuh diri merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar, itu kita wajib tahu dan Allah tidak akan menurunkan ujian melebihi kemampuan seseorang.

“Namun kita sendiri tidak tahu apa punca dan sebab mereka membunuh diri, jadi jangalah kita sesekali memberi sebarang komen yang tidak jelas tetapi ambillah iktibar daripada kejadian.

“Hanya dia (pelaku) yang tahu apa dilaluinya sehingga mendorong diri mereka untuk membunuh diri. Jadi kepada yang menonton dan mengetahui hal itu elok mendoakan kesejahteraan dia disana.

“Menurut hadis Nabi; janganlah kau mencaci maki mereka yang telah mati, kerana mereka sudah mendapatkan balasan terhadap apa yang dia lakukan ketika hidupnya,” katanya kepada Gempak.

Tambah Cik Man, sikap terburu-buru netizen dalam membuat andaian hendaklah dielak kerana hal itu tidak mendatangkan sebarang kebaikan.

“Dalam kalangan netizen, mungkin ada segelintir yang terlajak penulisan dalam memberikan pendapat terhadap orang yang mati membunuh diri.

“Perkara begitu hendaklah dielakkan dan kita perlu mengawal diri kita dari melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat.

“Sebagai masyarakat yang prihatin, jika melihat kenalan kita sedang stress, berilah mereka satu semangat positif dan elak menjadi toksik supaya kejadian buruk seperti membunuh diri ini tidak berlaku,” ujarnya.

Terdahulu Gempak melaporkan dua kejadian kes mati bunuh diri yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur.

BACA : Bapa Bunuh Diri Lepas Campak 2 Anak Mati, Seorang Di MRR2

BACA : “Berjalan Seorang Diri Di…” – Wanita Maut Jatuh Tingkat 4 KLCC